Tuesday, July 1, 2014

Episod Kecelaruan Institusi Pengajian Tinggi.

Tekanan terbaru terhadap pensyarah Universiti Malaya (UM) Redzuan Othman hanya sebahagian daripada siri panjang campur tangan terhadap institut pengajian tinggi (IPT), kata seorang profesor undang-undang.

Dr Abdul Aziz Bari berkata, beliau sendiri pernah digantung oleh Universiti Islam Antarabangsa ketika mengajar di situ selepas mengulas isu  berkaitan gereja di Petaling jaya pada 2011.

“UIA gantung saya dan tidak benarkan saya masuk ke pejabat sendiri. Ini mendorong mahasiswa – kebanyakannya bukan pelajar saya – mengadakan demonstrasi besar,” katanya.

Menurut Aziz lagi, menteri pengajian tinggi ketika itu Datuk Saifuddin Abdullah turut campur tangan dalam isu itu.

Dalam kes terbaru di UM, Saifuddin turut meletakkan jawatan sebagai felo universiti itu kerana tidak puas hati dengan tekanan terhadap Redzuan.

“Lebih lucu, Saifuddin sendiri kemudiannya tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam forum yang dianjurkan oleh mahasiswa UIA,” kata Aziz lagi.

Dalam tulisan terbarunya hari ini, kes-kes lain campur tangan lain dibariskannya termasuk:

    Selepas pilihan raya umum 1999, UM didakwa meminggirkan profesor ekonomi Jomo KS kerana pandangan dan penglibatannya bersama Barisan Alternatif yang dipimpin presiden PAS ketika itu Datuk Fadzil Mohd Noor.

Saifuddin semalam meletakkan jawatan sebagai felo penyelidik kanan UM sebagai membantah tekanan terhadap Dr Redzuan supaya berundur dari Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel).

Tekanan itu menurut Saifuddin  kerana kajian yang dilakukannya tidak menyenangkan kementerian.

Selain jawatan pengarah Umcedel, tempoh kontrak Redzuan sebagai dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM yang tamat semalam, juga  tidak dilanjutkan.

No comments: