Friday, July 18, 2014

Malaysia Akan Siasat Secara Terperinci Punca Tragedi MH17

SEPANG, 18 Julai (Bernama) -- Malaysia berikrar akan menyiasat secara terperinci punca yang menyebabkan pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 terhempas di Ukraine, walaupun pihak berkuasa Ukraine percaya pesawat komersial itu ditembak jatuh.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sekiranya pesawat itu benar-benar ditembak jatuh, Malaysia akan mendesak agar pihak yang bertanggungjawab melakukannya dibawa ke muka pengadilan dengan segera.

"Usaha akan dilakukan secara habis-habisan," katanya pada sidang akhbar di Sama-Sama Hotel di sini hari ini.

Najib, yang kelihatan sugul pada sidang akhbar yang sesak dengan wakil media itu, berkata laluan penerbangan pesawat berkenaan adalah selamat dan tidak tertakluk kepada sekatan.

Katanya laluan itu diisytiharkan selamat oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), manakala Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) juga menyatakan ruang udara yang direntasi pesawat itu tidak tertakluk kepada sekatan.

Beliau berkata Malaysia Airlines mengesahkan Penerbangan MH17, yang membawa 295 orang, termasuk 15 anak kapal, tidak membuat panggilan kecemasan.

Katanya menurut maklumat yang didedahkan Pusat Kawalan Trafik Udara Kiev, lokasi alat pengesan kedudukan kecemasan itu ialah 48 darjah, 7 minit dan 23 saat Utara; dan 38 darjah, 31 minit dan 33 saat Timur.

Menurut perdana menteri, pusat operasi kecemasan telah ditubuhkan berhubung tragedi itu, yang beliau sifatkan sebagai "dahsyat dan amat mengejutkan".

Katanya para pegawai Malaysia sentiasa berhubung dengan rakan sejawatan mereka di Ukraine dan tempat lain.

Najib berkata beliau juga telah bercakap dengan Presiden Ukraine dan pemimpin itu berjanji siasatan penuh, menyeluruh dan bebas akan dijalankan, manakala pegawai Malaysia juga akan dijemput menyertainya.

"Presiden Ukraine itu juga mengesahkan bahawa kerajaannya akan berunding dengan pemberontak di timur negara itu untuk menubuhkan satu koridor kemanusiaan di tempat peswat berkenaan terhempas," katanya.

Najib juga berkata beliau telah mengadakan beberapa perbualan dengan Perdana Menteri Netherlands dan akan berbincang dengan beberapa pemimpin dunia berhubung tragedi itu.

Najib berkata beliau juga menerima panggilan telefon daripada presiden Amerika Barack Obama dan mereka sependapat bahawa satu siasatan tanpa sebarang sekatan perlu dijalankan.

"Sebuah pasukan antarabangsa perlu mempunyai akses sepenuhnya ke tempat pesawat berkenaan terhempas dan tiada sesiapa patut mengganggu kawasan itu atau mengalihkan sebarang serpihan, termasuk kotak hitam," katanya.

Menurut Najib, Malaysia Airlines sedang dalam proses menghubungi waris penumpang dan anak kapal itu, manakala segala bantuan akan diberi kepada mereka.

Katanya Malaysia menghantar sebuah pesawat khas ke Kiev, yang membawa Pasukan Bantuan Bencana Khas Malaysia dan Pasukan Penyelamat serta pasukan perubatan.

Pesawat Boeing 777-200 Malaysia Airline Penerbangan MH17 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu dijadual tiba di Kuala Lumpur pada 6.10 pagi waktu Malaysia.

Najib berkata beliau mengutuskan doa dan harapan untuk keluarga serta sahabat handai mereka yang menaiki pesawat berkenaan.

"Saya tidak dapat membayangkan apa yang sedang mereka alami pada saat-saat memilukan ini. Bagaimanapun, hari ini, tanpa mengira warganegara, kita semua bersatu dalam kesedihan.

"Ini merupakan hari yang tragik, pada tahun yang begitu tragik juga bagi Malaysia," katanya.

Pada 8 Mac, Penerbangan MH370 bersama 227 penumpang dan 12 anak kapal, yang dalam perjalanan ke Beijing, China, hilang daripada pengesanan radar sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 12.41 pagi.

Bagaimanapun, usaha mencari pesawat yang hilang itu kini diteruskan.

Terdahulu, Najib menghadiri taklimat selama tiga jam tentang tragedi yang menimpa Penerbangan MH17 di Bangunan Pengurusan Penerbangan.

Turut hadir pada majlis taklimat dan sidang media itu ialah Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Wee Ka Siong dan Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi.

-- BERNAMA

No comments: