Monday, September 8, 2008

Bekerja Untuk Selesaikan Masalah, Bukan Sekadar 'Tunjuk Muka'

KLANG, 6 September - Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata cara untuk menyelesaikan sesuatu masalah yang dihadapi rakyat ialah dengan membuat kerja untuk mengatasi masalah itu bukan hanya menunjukkan muka kepada mereka sebagai tanda sudah turun padang.

"Kematangan kita ialah menyelesaikan masalah, bukan turun (padang) dan tengok-tengok muka, bukan (caranya).

"Cara yang kita buat ialah melalui cara bekerja dan (daripada masalah tertentu), memerlukan masa (untuk diatasi)," katanya ketika mengulas dakwaan yang beliau tidak turun padang menjenguk mangsa ribut di sekitar Selat Klang dan Rantau Panjang Isnin lalu.

Menurut beliau, sumbangan bantuan yang hendak diberi kepada penduduk tidak harus dinilai melalui berapa ramai, berapa wang mahupun berapa jam yang telah digunakan untuk membantu.

"Banyak cakap saja tidak guna, (kerana) buat kerja lebih baik," katanya.

Beliau berkata kehadiran beliau selepas kejadian itu tidak diperlukan memandangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan itu (Selat Klang), Dr Halimah Ali sudah ada dan sangat aktif membantu.

"Kami berkomunikasi melalui sms dan telefon bagaimana hendak menyelesaikan masalah yang dihadapi mangsa...jadi lebih baik Menteri Besar tidak datang tetapi boleh hantar tukang rumah dan lain-lain untuk membantu penduduk," katanya.

Abdul Khalid ketika ditanya sama ada jika beliau menjenguk penduduk pada masa itu akan dapat memberikan sokongan moral, beliau berkata ia tidak diperlukan orang yang dalam kecemasan.

"Mereka hendakkan pertolongan. Itu sebab saya hendak tukar konsep (sokongan moral) itu, ada ahli politik yang suka 'bergaya', tetapi saya bukan datang dari kumpulan seperti itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita selepas menyampaikan bantuan makanan kepada mangsa kejadian ribut di Dewan Orang Ramai Teluk Pulai pagi tadi.

Kehadiran beliau bersama-sama dengan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail dan Dr Halimah menafikan andaian sesetengah pihak yang Abdul Khalid tidak prihatin dengan nasib mangsa.

Sementara itu menurut Rodziah, jawatankuasa gerak kerja yang telah dibentuk akan membuat penilaian kerosakan bagi setiap rumah dan menggalakkan semangat gotong royong di kalangan penduduk.

Menurut beliau, kerajaan negeri sudah menyediakan peruntukan untuk membantu mangsa ribut berkenaan melalui Tabung Bencana Negeri.

"Kita juga telah menambah peruntukan dalam tabung itu tambahan kepada peruntukan sedia ada program kerajaan prihatin yang disumbangkan setiap anak syarikat kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata dianggarkan sebanyak 20 kediaman yang ranap akan dipastikan dibina semula.

"Kita bagi pada pihak kontraktor yang betul untuk memastikan rumah mereka dapat didirikan dengan baik," katanya.

Beliau menganggarkan sejumlah RM25,000 bagi sebuah rumah diperuntukkan bagi tujuan itu.

Rodziah berharap nasib yang menimpa penduduk di kawasan terbabit akan mendapat perhatian kerajaan persekutuan.

"Jangan lihat ini kerajaan negeri Selangor sahaja punya masalah, sepatutnya kerajaan persekutuan patut turun padang dan sama-sama menyelesaikan masalah rakyat.

"Saya memohon kerajaan persekutuan tidak memandang ini sebagai hal ehwal politik tetapi isu kemanusiaan," katanya.

Beliau juga berharap Dato' Menteri Besar seorang tidak harus dibebankan dengan masalah itu sedangkan ada kepimpinan lain yang boleh turun padang.

Kejadian ribut yang berlaku Isnin lalu menjejaskan kediaman 1,107 penduduk di Selat Klang dan hampir 500 penduduk di Rantau Panjang.

No comments: