Friday, September 19, 2008

Teresa: Artikel akhbar jadi asas siasatan

Sep 19, 08 4:12pm
Siasatan polis terhadap Teresa Kok didakwa berasaskan satu artikel yang diterbitkan di Utusan Malaysia yang mengulas isu azan, tulisan jawi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan babi.

Dalam kenyataannya tidak lama selepas dibebaskan tengah hari ini, ahli parlimen Seputeh berkata polis tidak mengemukakan sebarang bukti terhadapnya kecuali membangkitkan beberapa isu seperti ditimbulkan dalam artikel itu yang diterbitkan 10 September lalu.

"Selepas ditahan selepas tujuh hari dengan berselindung di sebalik apa yang dinamakan siasatan, polis gagal menunjukkan sebarang bukti atau dalil pembabitan saya dalam kegiatan yang boleh mendorong ketegangan kaum atau agama," kata Teresa, yang juga exco kanan kerajaan Selangor.

Tambahnya, tiga persoalan utama yang ditanya pegawai-pegawai penyiasat kepadanya:

i) sama ada beliau terlibat menggerakkan sekumpulan penduduk Bandar Kinrara untuk menyerahkan petisyen bagi membantah azan di masjid Bandar Kinrara;

ii) sama ada beliau pernah mengeluarkan kenyataan bahawa 30 peratus peruntukan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) harus diberikan kepada badan-badan agama bukan Islam; dan

iii) sama ada beliau menentang penggunaan huruf jawi di papan tanda jalan-jalan di Kuala Lumpur.

"Saya menafikan dua tuduhan pertama kerana saya tidak pernah berbuat demikian," katanya.

Jelasnya, beliau membantah papan tanda jalan itu selepas penduduk Taman Seputeh sendiri marah pada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) apabila menukar papan-papan tanda itu sewenang- wenangnya awal tahun ini dengan alasan ia membazir wang awam.

No comments: