Thursday, July 15, 2010

KDN perbaharui permit penerbitan Harakah dengan amaran keras

KUALA LUMPUR, 15 Julai — Kementerian Dalam Negeri (KDN) memutuskan untuk memperbaharui permit penerbitan lidah rasmi PAS, Harakah,dengan memberi amaran keras supaya ia hanya dijual di markas dan pejabat urusan parti itu sahaja.

Permit penerbitan akhbar itu tamat pada 7 Julai lepas.

Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan & Teks AL-Quran kementerian itu Datuk Zaitun Ab Samad berkata keputusan untuk memperbaharui permit penerbitan Harakah dibuat setelah KDN berpuas hati dengan kerjasama, penjelasan dan janji pihak pengurusan Harakah untuk mematuhi syarat-syarat permit penerbitan serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Menurutnya, pihak pengurusan Harakah memberi perhatian serius terhadap surat tunjuk sebab yang dikeluarkan oleh KDN dan telah menunjukkan kerjasama yang baik.

Pengerusi Jemaah Pengarah Harakah Datuk Mustafa Ali dan Pengarah Urusan Datuk Kamarudin Jaafar telah datang berjumpa Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Mahmood Adam pada 12 Julai lepas untuk memberi penjelasan.

Zaitun berkata pihak Harakah juga telah menjawab surat tunjuk sebab pada 13 Julai dengan membuat akujanji akan mematuhi syarat-syarat permit penerbitan seperti mencetak perkataan “Untuk Ahli Sahaja” dan menghantar lapan naskhah setiap keluaran Harakah kepada kementerian sebaik sahaja ia dicetak.

“Kementerian akan sentiasa memantau penerbitan Harakah untuk memastikan pematuhan,” katanya.

Keputusan itu diumumkan sehari selepas mesyuarat kepimpinan Pakatan Rakyat memutuskan bahawa penerbitan lidah rasmi komponennya Suara Keadilan, Harakah dan Roket akan ditangguhkan sementara waktu sehingga pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein dilakukan bagi membincangkan isu pembaharuan permit ketiga-tiga akhbar berkenaan.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan DAP telah menjawab surat tunjuk sebab yang diberikan kementerian berkenaan berhubung isu pembaharuan permit dan artikel yang disiarkan akhbar itu.

Sebelum ini, Kementerian Dalam Negeri menyatakan permit Suara Keadilan yang tamat tempoh pada 30 Jun lepas tidak akan diperbaharui sehingga kementerian menerima penjelasan yang memuaskan berhubung penyiaran beberapa artikel termasuk yang terbaru bertajuk “Felda Bangkrap”.

PAS turut menerima surat tunjuk sebab berhubung permit yang tamat tempoh pada 7 Julai lalu manakala DAP pula menerima dua surat tunjuk bagi akhbar Roket edisi bahasa Inggeris dan Cina yang tempoh permit penerbitannya masing-masing tamat pada 30 Jun lalu dan 30 November lalu.

Dalam pada itu, Kamarudin ketika dihubungi The Malaysian Insider sebentar tadi berkata, PAS menyambut baik keputusan kementerian meluluskan permohonan memperbaharui permit penerbitan Harakah.

“Kami akan sedaya upaya cuba mematuhi syarat-syarat yang dikenakan dengan sepenuhnya... kami juga berharap kerjasama daripada pihak kerajaan dan orang ramai supaya memahami keadaan ini,” katanya.

Ketika ditanya sama ada akhbar dwimingguan Harakah akan dikeluarkan esok seperti biasa, Kamarudin berkata, beliau perlu mengadakan perbincangan dengan pengurusan dan pencetak.

Mengenai keputusan Pakatan Rakyat menangguhkan penerbitan kesemua organ mereka termasuk Harakah, beliau berkata, keputusan semalam dibuat berdasarkan kedudukan permit masih belum diperbaharui.

“Tetapi permit Harakah sudah diperbaharui sekarang, saya rasa tiada masalah dan ia akan diterbitkan macam biasa,” katanya.

No comments: