Monday, September 10, 2012

Nasharudin Mat Isa Kekal

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Syura PAS malam tadi tidak membincangkan sebarang isu berkait kedudukan bekas Timbalan Presidennya, Nasharudin Mat Isa.

Menurut Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, mesyuarat lebih dua jam malam tadi hanya memberi fokus kepada perkara-perkara yang berkait pilihan raya khususnya senarai calon yang akan bertanding.

Berhubung kedudukan Nasharudin katanya, tiada sebarang masalah yang timbul dan tiada keperluan bagi majlis syura membincangkannya.

"Mesyuarat tak bincang isu Ustaz Nasharudin dan dia pun ada dalam mesyuarat tadi.

"Tidak berbangkit untuk bincang isu Ustaz Nasha kerana tiada masalah yang timbul. Siapa kata ada masalah?" Kata beliau selepas selesai mesyuarat di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut malam tadi.

Sehubungan itu jelasnya, kedudukan Nasharudin kekal sebagai anggota Majlis Syura PAS dan tiada sebarang tindakan akan diambil terhadap Ahli Parlimen Bachok itu.

"Beliau kekal sebagai ahli majlis syura seperti biasa dan tiada apa-apa tindakan sebab tiada apa-apa masalah," katanya lagi.

Mesyuarat malam tadi turut dihadiri Nasharudin selaku ahli Majlis Syura PAS yang dilihat tiba di ibu pejabat PAS, kira-kira jam 8.55 malam tadi.

Mursyidul Am Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turut hadir mempengerusikan mesyuarat.

Isu kedudukan Nasharudin menjadi tumpuan ekoran kenyataan beliau dimedia arus perdana yang menggesa PAS mempertimbang semula kenggotaan dalam Pakatan Rakyat berikutan pendirian Pengerusi DAP, Karpal Singh dalam isu hudud.

No comments: