Semalam ada pihak yang bertanya
saya tentang mereka yang memakai kasut semasa solat. Soalan itu merujuk
kepada kumpulan anak-anak muda yang membantah kenaikan harga barang yang
bersolat dalam keadaan memakai kasut di tempat mereka berkumpul.
Ada pula yang cuba menyatakan solat itu tidak sah, bahkan ada yang menyatakan itu seperti menghina solat.
Rentetan dari itu juga, ada yang
menyatakan anak-anak muda yang memakai topeng ala vendetta dalam
perhimpunan itu telah rosak akidah mereka kerana menyerupai ajaran
Kristian.
Samada kita bersetuju ataupun
tidak dengan perhimpunan anak-anak muda, suatu hal yang lain, tapi yang
jelas kenyataan-kenyataan ini walaupun berbunyi agama tetapi hakikat
bukan bertujuan agama.
Sebaliknya, bertujuan
kepentingan politik pihak tertentu malangnya, unsur agama dimainkan
untuk menjatuhkan pihak yang bertentangan. Hal ini berlaku dalam banyak
pihak dan puak sepanjang sejarah politik manusia.
Memakai kasut semasa solat
bukanlah satu kesalahan jika kasut itu bersih dari najis. Dalam
al-Mustadrak oleh al-Hakim, ada riwayat yang disahihkan oleh al-Zahabi,
daripada Anas bin Malik, berkata:
“Nabi s.a.w tidak pernah
menanggalkan kasut dalam solat melainkan sekali, lalu, ketika itu, orang
ramai pun turut menanggalkannya.
Nabi s.a.w bertanya: 'Mengapa
kamu menanggalkan kasut kamu?' Mereka menjawab: 'Kami melihat engkau
menanggalkannya, maka kami pun tanggalkan'.
Nabi s.a.w bersabda, 'Jibril telah memberitahu aku bahawa pada kedua kasutku ada kotoran'."
Dalam riwayat Ibn Khuzaimah,
ditambah: “Seseorang kamu hendaklah melihat kasutnya, jika ada kotoran
hendaklah dia sapu di tanah (gesel hingga bersih di tanah), kemudian dia
boleh bersolat memakainya.”
Ertinya, bukan satu masalah yang
besar, bahkan diizinkan solat memakai kasut jika bersih. Namun ia
dijadikan isu kerana ada kepentingan politik.
Betapa ramai yang pergi konsert yang pelbagai dalam negara ini yang entah bila mereka bersolat pun tiada siapa yang tahu.
Tidak pernah pula menjadi isu pun bagai ‘agamawan politik’ ini, tiba-tiba yang bersolat berkasut pula menjadi isu.
Topeng vendetta memanglah bukan
dari ajaran Islam, tapi sejak bila pula ia dari ajaran Kristian?! "V for
Vendetta" adalah hasil dari novel David Llyold dan Tony Weare pada
tahun 1982.
Ia menjadi terkenal kerana difilemkan pada tahun 2005 dengan tajuk "V for Vendetta".
Dalam sejarah, topeng itu
menggambarkan keberanian Guy Fawkes dan kumpulannya yang menentang
penguasa yang menindas rakyat pada tahun 1605.
Cuma dalam kisah topeng ini
kumpulan pemuda yang menentang penguasa itu agak ekstrim dengan
merancang untuk membunuh King James dan meletupkan negara.
Dikatakan mereka juga ingin
menghapuskan parlimen dan mengembalikan monarki Katolik. Dari sudut itu,
ia bukan satu perlambangan yang baik.
Cuma, sebenarnya bukan isu Kristianisasi yang ditakuti, sebaliknya isu politik yang hendak dikaitkan.
Betapa ramai orang politik
negara ini yang hadir dalam majlis sambutan Krismas, Depavali, sambutan
itu dan ini yang dari segi latar sejarahnya memang mempunyai unsur
agama.
Tidaklah pula mereka itu dikaitkan dengan Kristianisasi, Hinduisasi ataupun seumpamanya.
Demikian juga apabila ada pihak
yang mengharamkan seorang Muslim menyertai parti musuhnya yang tidak
meletakkan Islam sebagai dasar kerana dianggap menolak Islam.
Namun kemudiannya membolehkan
Muslim menyertai parti lain yang tidak berteraskan Islam sebagai dasar
disebabkan parti itu berbaik dengan mereka.
Semua hukuman yang tidak selaras dan terpilih ini akibat dari menjadikan agama sebagai senjata dalam berpolitik.
Percampuran antara politik dan
agama boleh membawa kesan yang positif yang diredhai dan dikehendaki
Allah dan RasulNya, tapi boleh juga membawa kesan yang negatif yang
merosakkan agama Allah dan RasulNya.
Ia semua amat bergantung kepada
siapa yang mengendalikan percampuran tersebut. Atas apa hasrat dia ingin
mencampurkan agama dan politik menentukan hasil percampuran itu. Jika
dia mencampurkan keduanya untuk mendapat panduan Tuhan dalam memimpin
manusia secara adil dan amanah, maka itu membawa kepada kebaikan.
Namun, jika percampuran politik
dan agama atas hasrat menguatkan kedudukan politik cuma, maka itu akan
merosakkan nama Allah dan agamaNya. Agama hanya akan menjadi mainan
kepentingan penguasa dan segala tafsiran mempunyai kepentingan mereka
yang terbabit dalam politik.
Dalam sejarah Kristian, ketika
golongan agama di Vatican menguasai politik, betapa ramai tokoh-tokoh
yang dihukum mati atas tuduhan heresy (murtad) hanya kerana tidak
bersetuju dengan penyelewengan pihak gereja dan kuasa politik.
Umpamanya dalam isu penjualan
'indulgences' atau borang pahala yang dijadikan saluran untuk golongan
agama mengaut harta dengan cara menipu fakta agama, ramai dibunuh kejam
hanya kerana mengkritik.
Demikian juga isu 'purgatory',
'relics', 'saints' dan pelbagai lagi yang menjadikan cara golongan agama
menipu orang awam. Mereka yang jujur bangun mengkritik dijatuhkan
hukuman mati dan dibakar hidup-hidup.
Inilah nasib yang menimpa Jan
Huss (1370-1415) yang merupakan reformis agama Bohemian, yang dibakar
hidup-hidup di khalayak ramai.
Demikian tekanan yang dikenakan
kepada reformis agung Kristian, Martin Luther (1483-1546) dan para
pengikutnya yang sebahagian mereka dibakar hidup-hidup.
Golongan politik mengambil
kekuatan dari cengkaman kuasa agama ke atas rakyat. Penyelewengan
pengurusan dan harta negara bagaikan diampun Tuhan kerana golongan agama
bersama mereka.
Inilah hasilnya apabila kuasa politik dicampur dengan agama yang dikendalikan oleh mereka yang berkepentingan.
Di negara kita kini, lihat
bagaimana ada pihak yang ‘so-called’ agamawan yang sibuk membaca dalil
kepada rakyat supaya bersyukur dan jangan membazir kerana itu amalan
syaitan. Dalam masa yang sama tidak pula aktif membaca nas-nas ini
kepada golongan atasan.
Persoalannya, apakah ayat-ayat
Tuhan ini hanya ditujukan kepada rakyat bawahan? Sementara golongan
atasan, samada sultan ataupun menteri, ayat-ayat Tuhan tidak terkena
mereka?
Ada agamawan yang menghalalkan
darah orang bawahan yang berkumpul secara aman tanpa senjata. Kononnya
mereka itu bughah yang dihalalkan bunuh.
Padahal bughah adalah istilah
mempunyai takrifan dan konteks yang tersendiri. Tidak dinamakan bughah
yang boleh diperangi oleh pemerintah rakyat yang berkumpul tanpa
senjata.
Dalam konteks hari ini, apakah
bughah dilakukan rakyat yang masih membayar cukai dan mengikut pelbagai
peraturan yang tetapkan oleh negara?
Kita mungkin boleh tidak
bersetuju dengan perhimpunan itu tapi apakah patut untuk dihalalkan
darah awam sedemikian rupa? Lihatlah bagaimana agama boleh menjadi
senjata kuasa politik sehingga perintah dibenarkan menumpah darah rakyat
yang lemah.
Saya tidak menyeru kepada
pengasingan agama dari politik kerana itu bukan tabiat Islam. Pun
begitu, jika agama sekadar senjata untuk kepentingan politik, lebih baik
ia diasingkan.
Politik Islam itu bukan
semestinya membaca dalil agama itu dan ini sedangkan intipatinya tidak
memenuhi maksud rahmat dan keadilan yang menjadi tujuan ajaran Islam.
Sekali lagi saya nukilkan
kata-kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (wafat 751H) tentang politik
dan keadilan dalam al-Turuq al-Hukmiyyah fi al-Siyasah al-Shar’iyyah:
“Berkata al-Shafi’i: 'Tiada siyasah (politik) melainkan apa yang menepati syarak'.
Kata Ibn ‘Aqil: 'Siyasah itu
yang merupakan tindakan yang mana dengannya manusia lebih dekat kepada
kebaikan dan jauh dari kerosakan, sekalipun ia tidak ditetapkan oleh
Rasul dan diturunkan wahyu mengenainya. Jika engkau maksudkan dengan
perkataanmu "Tiada siyasah melainkan apa yang menepati syarak" iaitu
tidak menyanggahi apa yang syarak sebut, maka itu betul.
Jika engkau maksudkan tiada
siyasah melainkan apa yang syarak sebut maka itu salah. Itu juga
menyalahkan para sahabah... apabila zahirnya tanda-tanda keadilan dan
wajahnya memancar sinar dalam apa jalan sekalipun, maka di situlah
syariat Allah dan agamaNya... bahkan Allah s.w.t. telah menjelaskan
bahawa apa yang Dia syariatkan mengenai jalan-jalan (hukum agama)
tujuannya untuk menegakkan keadilan dalam kalangan hamba-hambaNya dan
membolehkan manusia menegakkan keadilan. Apa-apa saja jalan yang dapat
menghasilkan keadilan dan kesaksamaan maka itu dari agama ini, dan ia
tidak menyanggahinya'." ~Dr. Asri Zainal Abidin
No comments:
Post a Comment