Umat Islam perlu bersatu kerana itu
tuntutan agama dan juga tuntutan syarak. Bahkan Allah mengancam golongan
yang berpecah belah kerana ia mendedahkan kepada kelemahan dan
kemusnahan.
وَالَّذِينَ كَفَرُوا بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ إِلَّا تَفْعَلُوهُ تَكُنْ فِتْنَةٌ فِي الْأَرْضِ وَفَسَادٌ كَبِيرٌ
“Adapun orang-orang yang kafir, sebagian mereka menjadi pelindung bagi
sebagian yang lain. Jika kamu (hai para muslimin) tidak melaksanakan apa
yang telah diperintahkan Allah itu, nescaya akan terjadi kekacauan di
muka bumi dan kerusakan yang besar.” – Surah Al-Anfal Ayat 73
Lantaran itu, umat Islam sepatutnya menjadi model penyatuan ummah
mengatasi semangat bangsa, menjauhi asabiyyah, perbezaan suku kaum,
warna kulit bahkan agama.
Model penyatuan ini telah muncul dalam
sejarah umat Islam sejak zaman lampau. Negara Islam pertama di Madinah
merupakan sebuah masyarakat majmuk dengan pelbagai bangsa dan agama.
Kerajaan Islam di era Umaiyah hingga kerajaan Uthmaniyyah telah berjaya
membina peradaban dan tamadun manusia dengan kepelbagaian budaya adat
istiadat dan agama.
Namun ia mulai hakis bilamana berlakunya
penjajahan di kalangan negara Islam lalu mereka mengapi-apikan semangat
asabiyyah yang berjaya dibenamkan oleh Rasulullah SAW.
Kini,
kita sedang menyaksikan bagaimana musuh memainkan api permusuhan antara
kaum dan bangsa. Pertembungan antara mazhab Sunni dengan Syiah diambil
kesempatan semaksima demi kepentingan neo-kolonialisme yang sedang
menguasai dunia.
Jangan ingat Malaysia terselamat daripada ditiup
api permusuhan antara kaum dan bangsa. Realitinya, Malaysia tidak
terlepas dari suasana tersebut.
Pertembungan di kalangan orang
Melayu yang beragama Islam di negara ini bermula dengan dasar "pecah dan
perintah" yang dilakukan oleh Inggeris. Sehingga kini, ia terus
berlanjutan dengan pelbagai kemelut yang menjadi punca perpecahan
tersebut.
Dari semasa ke semasa, timbul pihak yang menyatakan
perlunya penyatuan dan perpaduan. Namun hairannya setiap kali, panggilan
penyatuan berlaku tatkala pihak yang diamanahkan kuasa kelihatan tenat
dan bergoyah. Tidak pernah lagi suara penyatuan dilaungkan ketika mereka
yang berkuasa dalam keadaan selesa.
Dari sudut politik, ada yang
menuduh pertembungan antara PAS dengan Umno dilihat menjadi punca.
Bukankah PAS pernah bersama Umno-BN di tahun 1970an? Namun, PAS
dikhianati, negeri Kelantan jatuh ke tangan Umno sebelum Almarhum Tuan
Guru Nik Aziz Nik Mat menerima mandat rakyat Kelantan untuk memerintah
sejak 1990 sehingga hari ini. Ketika itu, Umno kuat. Tiada sesiapa yang
mengajak perlunya PAS-Umno bersatu tatkala Umno terus melakukan pelbagai
diskriminasi terhadap kerajaan negeri Kelantan.
Sejarah PAS yang
panjang membuktikan bahawa PAS merupakan parti yang sanggup mengadakan
tahaluf siyasi dengan semua pihak. Selagi mana ia tidak dikhianati, PAS
akan menjaga kerjasama dan muafakat tersebut.
PAS pernah
bekerjasama dengan Parti Negara. PAS pernah juga menyertai BN. PAS
pernah bersama S46. PAS pernah bersama BA. PAS bersama PR. Dan kini PAS
bersama PKR. Inilah keanjalan politik PAS yang inklusif berbanding
parti-parti lain.
Hari ini, isu penyatuan kembali hangat apabila
Umno melalui ucapan Presidennya Datuk Seri Najib Razak menghulurkan tali
silaturrahim mengajak PAS bersama membina negara berteraskan syariah di
tengah-tengah perhatian rakyat sedang menyaksikan perbalahan antara
beliau bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Pelbagai komentar dan pandangan dari pelbagai pihak - termasuk oleh
Datuk Mohd Puad Zarkashi yang memberikan bayangan seolah-olah dua orang
yang menentang kerjasama PAS dengan Umno iaitu Timbalan Presiden (saya)
dan Naib Presiden PAS (yakni merujuk kepada YB Iskandar Samad).
Saya ingin mengingatkan beliau bahawa keseluruhan pimpinan PAS tidak
pernah menentang sebarang bentuk kerjasama dengan mana-mana pihak kerana
ianya adalah perintah Allah.
PAS menyatakan dengan tegas kita
perlu bersatu di atas landasan yang digariskan oleh Allah; iaitu
“Bertolong bantulah kamu dalam perkara kebaikan dan taqwa, dan jangan
bertolong bantu dalam perkara dosa dan permusuhan”.
INILAH prinsip Islam yang menjadi pegangan PAS.
PAS sedia kerjasama dalam menentang kemungkaran pemerintah, rasuah,
salah urus tadbir negara, kezaliman, penganiayaaan, perjanjian yang
tidak ditepati dan berat sebelah yang menyusahkan rakyat serta sistem
federalisme yang tidak dilaksanakan.
Atas dasar inilah PAS
sanggup mengadakan kerjasama dengan mana-mana pihak. Namun kerjasama ini
bukanlah bermakna PAS harus korbankan dasar dan perjuangan demi
mencapai kemenangan politik pilihanraya sahaja.
Perlu diingatkan,
jalinan dan kerjasama hubungan antara kerajaan negeri dengan kerajaan
pusat adalah sebahagian daripada sistem federalisme yang tidak boleh
dicampur-adukkan dan diklasifikasikan sebagai kerjasama politik antara
dua parti. Cuma ada sebilangan pemimpin Umno yang keliru akan perkara
ini, mungkin kerana telah biasa dengan sistem federalisme yang telah
dirosakkan oleh Umno sendiri.
Datuk Seri Najib telah menyatakan
hasrat bagi melaksanakan pemerintahan negara berlandaskan syarak… Ini
tentunya khabar gembira kalau ianya benar-benar lahir dari keinginan
yang bersungguh-sungguh PM. Sebagai parti yang sedang memerintah beliau
mesti membuktikan hasrat tersebut. Laksanakanlah dalam ruang yang sedia
ada dengan merintis perubahan kepada keadilan sosial dan ekonomi rakyat.
Di saat rakyat menderita dengan tekanan hidup akibat kenaikan
kos hidup, rakyat melihat Umno gagal menjaga bangsa dan agama, maka
jangan kegagalan ini disalahkan PAS, hanya kerana PAS menolak perlawaan
Umno, kerana lebih 50 tahun Umno diberi kepercayaan oleh orang Melayu
Islam untuk mentadbir negara.
Sebagai sebuah negara yang
majoritinya Muslim, ia adalah menjadi kewajipan kita untuk kembali
kepada petunjuk Ilahi dalam mengurus tadbir yang baik. Istilah 'good
governance' ialah kerajaan yang mengurus tadbir berdasarkan panduan
Al-Quran dan As-Sunnah. Mana mungkin manusia mampu mengurus bumi Allah
dengan mengenepikan petunjuk dari Pencipta muka bumi (Allah).
Berdasarkan itu, PAS, sebagai parti pembangkang hari ini, sedia membantu
dan terus menjadi sebagai pendesak kerajaan bagi melaksanakan perintah
Allah dan menegakkan syariat sebagaimana yang dituntut oleh Allah.
Tetapi ini bukan bermakna PAS bergabung dengan Umno atau menyertai BN.
Ini telah ditegaskan oleh Presiden berulang kali.
PAS tidak mahu
memikul pengkhianatan Umno kepada agama. Lebih 50 tahun negara ini tidak
pernah merasai berjalannya hukum Allah secara menyeluruh, riba rasuah,
pusat maksiat berleluasa sehingga remaja seolah-olah tiada hala tuju.
PAS juga tidak akan merelai perpaduan bagi mendokong tindakan yang
bertentangan dengan Islam seperti kesanggupan ' menghalalkan' pelbagai
penipuan, penyelewengan, rasuah dan perkara bertentangan dengan syarak
demi mempertahankan kuasa satu-satu pemimpin.
Realitinya, negara
perlu diselamatkan dari kerosakan yang semakin parah dari segala sudut
hasil daripada pemerintahan Umno-BN. Suara negara semakin kelam kerana
isu yang melanda kepimpinan negara.
Dan cara menyelamatkannya
bukan dengan memberikan talian hayat dan sokongan kepada Umno untuk
terus melakukan penyelewengan tanpa rasa bersalah. Umno mesti disedarkan
dengan ancaman bahawa mereka akan ditolak rakyat jika meneruskan cara
pemerintahan yang sedia ada.
Dan PAS akan meneruskan tugas dalam
mendesak Umno menggugurkan dasar nasionalismenya dan menerima
perjuangan Islam. Dan ini hanya boleh berlaku dengan PAS terus menjadi
saingan kepada Umno.
Inilah jalan kami.
Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
14 Disember 2015
No comments:
Post a Comment