Sesungguhnya
perasaan kita penuh dengan kerinduan terhadap Rasulullah SAW. Sebagai
seorang yang mencintai dan mengasihi baginda, tentu sekali kita sentiasa
terkenang akan sirah atau lakaran-lakaran pengorbanan Rasulullah SAW
sehingga kita semua dapat menerima cahaya keislaman, hidayah dari Allah
bagi mengecapi nikmat Iman dan Islam yang sangat berharga.
Namun
kita sebagai seorang Muslim perlu sentiasa bermuhasabah sejauh manakah
kecintaan yang diungkapkan ini benar-benar tertanam dengan kukuh di
lubuk hati kita? Sejauh manakah kita menunaikan apa yang ditinggalkan
oleh Rasulullah SAW dalam lakaran perjuangannya, yang kemudiannya
disambung silih berganti hingga ke hari ini?
Wajib bersama kita hayati firman Allah SWT yang termaktub di dalam Al-Quran :
وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا كَافَّةً لِلنَّاسِ بَشِيرًا وَنَذِيرًا وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ.
"Dan
tiadalah Kami mengutusmu (Wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia
seluruhnya, sebagai pembawa berita gembira, dan pemberi amaran; akan
tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu."
[Surah Saba’ : ayat 28]
Baginda
Rasulullah SAW telah pergi meninggalkan kita, dengan sama sekali tidak
mewariskan kepada kita harta pusaka kekayaan, tetapi yang diwariskan
adalah ilmu yang menjadi panduan hakiki, akhlak yang terpuji, sebuah
perjuangan suci dan sebuah cara hidup yang sempurna, melalui adanya
Al-Quran serta Sunnah Rasulullah SAW.
Marilah
kita sama-sama menjadikan sambutan Maulidur Rasul kali ini dengan
menguatkan iltizam. Bersama kita menegakkan sunnah baginda sepanjang
tahun dan sepanjang hayat kita. Tidak cukup kita menunjukkan rasa
gembira dengan bercuti, mengadakan perarakan atau perbarisan dan
berslogan mencintai Rasulullah. Akan tetapi gembirakanlah Rasulullah SAW
dengan mengamalkan serta menegakkan segala suruhan baginda,
meninggalkan dan berusaha menghalang segala yang dibenci oleh Baginda.
Rasulullah
SAW meninggalkan sebuah perjuangan suci sebagai rahmat ke seluruh alam
untuk kita sambung dan teruskannya. Segala kezaliman, penyelewengan,
rasuah, salah guna kuasa, jenayah, yang berlaku pada hari ini hatta dari
seorang yang mengaku Islam, menunjukkan jauhnya si pelakunya dari
tinggalan Rasulullah SAW walaupun dia menyambut kelahiran Baginda SAW
saban tahun.
Marilah sama-sama
kita pasakkan keazaman untuk menyambung perjuangan Rasulullah SAW hingga
ke akhir hayat kita. Sebagai seorang individu, marilah pula kita
menghayati dan mengamalkan peninggalan Rasulullah SAW, seorang pemimpin
meletakkan azam untuk menegakkan sunnah di dalam kepimpinannya. Sebuah
kerajaan lebih-lebih lagi berkomited mengamalkan segala suruhan Allah
SWT dan Rasul di dalam segala aspek pentadbirannya.
Semoga
kita semua bertambah cinta kepada Rasulullah SAW dan beroleh cinta
Allah dan Rasul-Nya. Selamat menyambut Maulidur Rasul 1437H.
"BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN"
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
24 Disember 2015M / 12 Rabiul Awwal 1437H
No comments:
Post a Comment