Wednesday, December 2, 2015

UG ATAU ISIS, MANA SATU PELURU PAN?

Mutakhir ini, pimpinan Parti Amanah Negara (PAN) mulai menyerang PAS dengan mengaitkan PAS dengan ISIS atau terrorisme. Yang terkini, kenyataan Presiden PAN sendiri seperti yang dilaporkan dalam The Malaysianinsider, antara sebab PAN ditubuhkan disebabkan PAS kini dipengaruhi oleh ISIS. Sebelum ini, PAS dituduh mahu bersekongkol dengan parti pemerintah, iaitu UMNO atau BN atas nama Kerajaan Perpaduan (UG), yang juga dimomokkan sebagai punca mengapa PAN ditubuhkan.

Melihat kepada tuduhan-tuduhan tersebut, Pusat Penyelidikan PAS (PPP) melihat dengan jelas berlakunya 'paradox' antara tuduhan ISIS dan tuduhan UG. Sesebuah kumpulan yang terpengaruh dengan ISIS, sifat mereka begitu melampau terhadap pemerintah Muslim yang tidak sealiran dengan mereka. Dalam berhadapan dengan pemerintah seperti ini, ISIS akan mengangkat senjata untuk memcapai matlamat mereka, dan tiada langsung jalan perdamaian.

Pada masa yang sama PAS dituduh pula mahukan kepada UG, iaitu membentuk kerajaan perpaduan bagi membetulkan sistem dan budaya politik tempang dalam negara ini. Ramai pemimpin dan penyokong PAN menuduh PAS mahu berkerjasama dengan UMNO dan BN, sehingga mereka keluar dan menubuhkan parti baru. Jika PAS dituduh diserapi pemikiran ISIS, mengapa pula PAS dituduh mahu berkerjasama dengan pemerintah kerana pendekatan ini jauh berbeza dengan ISIS.

Berdasarkan 'paradox' kedua-dua tuduhan itu, PPP melihat kepimpinan PAN lah sebenarnya yang semakin keliru dan celaru. Mereka tidak tahu, peluru mana yang mahu diguna untuk menyerang PAS. Mereka juga sedang mencari alasan memberikan jawapan kepada ahli-ahli mereka yang 'pening' bagi mewajarkan mengapa mereka keluar dari PAS. Kepimpinan PAN dinasihatkan menyelesaikan dahulu kecelaruan mereka, dan mencari titik persamaan supaya kumpulan pro Syiah, pro Tanzim Alami dan pro Anwariyyun dapat disetarakan pemikirannya.


Dr Mohd Zuhdi Marzuki
Pengarah PPP

1 Disember 2015
19 Safar 1437

No comments: