Friday, October 10, 2008

Nasihat Yang Tidak Diminta Buat Mohd Najib

A Kadir Jasin

PAGI tadi, ketika sarapan nasi lemak bungkus daun pisang di Kelana Jaya dengan blogger Pahit Manis, saya kiaskan peralihan kuasa daripada Abdullah Ahmad Badawi kepada Mohd Najib Abdul Razak dengan tukar “bas charter” untuk memudahkan pemahaman.

Dalam perjalanan kita ke Gua Musang (contoh saja), bas charter kita mati di Merapoh. Hari dah nak malam dan majlis di Gua Musang lepas Maghrib.

Masa itu kita tak peduli lagi kalau bas ganti yang dihantar itu baru, lama atau lebih teruk daripada bas yang mati. Matlamat kita adalah sampai ke Gua Musang sebelum Magrib.

Bila dah sampai di Gua Musang dan selesai majlis barulah kita fikir fasal bas charter ganti tadi. Kalau teruk atau rosak juga, kita mintalah yang lebih baik, gerenti tak rosak dan selesa.

Nasihat Percuma Buat Mohd Najib

Kepada Mohd Najib, berikut adalah nasihat saya yang tidak beliau minta. Atau boleh jadi juga nasihat yang beliau tidak suka dengar.

Tetapi saya akan bagi juga kerana saya adalah rakyat Malaysia, pengundi dan walaupun dah pencen masih bayar cukai pendapatan.

1. Pengundi memilih (atau tidak memilih) Datuk Seri. Mereka tidak pilih isteri, anak, menantu dan kawan rakan Datuk Seri;

2. Rakyat jelata menuntut hak dan pembelaan daripada Datuk Seri bukan daripada isteri, anak, menantu dan kawan rakan Datuk Seri;

3. Pembayar cukai menampung pembiayaan Datuk Seri selaras dan sejajar dengan kemudahan yang diberikan kepada Datuk Seri oleh Perlembagaan dan atur cara kewangan negara;

4. Tidak payahlah ada “presidential office” ala “4th Floor” (aka budak-budak tingkat 4) atau “spin doctor” yang putar-belitkan maklumat;

5. Seri Perdana pun sudah tersedia indah. Abdullah baru membelanjakan lebih RM12 juta mengubahsuai dan memperbaikinya. Tak perlulah belanja lagi. Ramai lagi rakyat jelata yang tinggal di rumah robek; dan

6. Ambillah iktibar daripada naik dan jatuh pendahulu (predecessor) Datuk Seri --- bagaimana dalam masa kurang lima tahun Abdullah bertukar daripada “Mr Nice” dan “Mr Clean” yang sangat disayangi kepada seorang yang pemergiannya dinanti-nanti.

Saya tidak mengharapkan Mohd Najib ingat segala maklumat dan nasihat yang diberikan kepadanya. Maklumlah dia orang besar. Ramai orang nak beri nasihat.

Tetapi kalau Datuk Seri ingat, saya pernah memberi nasihat yang serupa lama dulu ketika kita berbual satu sama satu di rumah Datuk Seri di Jalan Duta dan dua bulan puasa lalu di kediaman Datuk Seri di Putrajaya.

No comments: