Tuesday, October 7, 2008

PERUTUSAN AIDILFITRI 1429H TUAN GURU PRESIDEN PAS

Sebagai renungan walaupun terlewat...



Syukur ke hadrat Allah kerana kita berjaya menempuh bulan Ramadan al-Mubarak dengan penuh ketaatan dan ketekunan. Tiadalah hadiah kejayaan yang terlebih besar dan istimewa dari kejayaan memperoleh status takwa.

"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu dari kamu, supaya kamu bertakwa." (maksud al-Baqarah: 103)

Ketakwaan ini akan membawa kita untuk terus beristiqamah dalam menyongsong perjuangan yang serba mencabar ini. Ingatlah bahawa kejayaan bagi kita selaku pendokong gerakan Islam adalah bukan sahaja kejayaan di dunia malah lebih-lebih lagi di akhirat yang kekal abadi.

"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar, nescaya Allah memperbaiki bagimu amalan-amalanmu dan mengampuni bagimu dosa-dosamu. Dan barangsiapa mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia telah mendapat kemenangan yang besar." (maksud al-Ahzab : 71)

Semoga kurnia takwa ini akan mendorong kita untuk terus kekal berjuang meninggikan kalimah Allah sehingga terlaksana syariat-Nya. Islam perlu mendominasi seluruh suasana supaya manusia kelak dapat melihat kehebatan dan keagungan Islam sehingga rela berada di bawah naungannya.

Dalam meniti liku-liku perjuangan yang penuh cabaran dan mehnah ini, akhlak dan adab berjemaah perlulah sentiasa kita pelihara sebagaimana kita memelihara prinsip perjuangan sehingga tidak berpaling atau hanyut dengan yang selain darinya.

Di sinilah pentingnya kejayaan Ramadan sebagai obor pembimbing kita pada setiap ketika.Walaupun Ramadan al-Mubarak bakal berlalu pergi, semua ahli di pelbagai peringkat parti perlulah terus menerus mempertingkatkan pengabdian diri kepada Allah, bermunajat untuk kekuatan jamaah, meningkatkan kerja dakwah bagi mengajak rakyat untuk bersama membela Islam menerusi wadah perjuangan PAS.

Kepimpinan parti pula hendaklah bersedia untuk merangka program tarbiyah bagi ahli-ahli baru nanti selain dari memperkasakan fikrah ahli yang sedia ada. Jadikanlah program ziarah menziarahi pada Syawal ini sebagai medium untuk meningkat hubungan baik dengan masyarakat. Pimpinlah rakyat supaya sama-sama menghayati perjuangan Islam ini.

"Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadah kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredhaan Allah semata-mata dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana kamu mahukan kesenangan hidup di dunia, dan janganlah mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai dari daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah lakunya pula adalah melampaui kebenaran. (maksud al-Kahfi: 28)

Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin.

DATO' SERI TUAN GURU ABD HADI AWANG

No comments: