Monday, December 1, 2008

Dr Hasan Gerakkan PMR, Antara Usaha Imarahkan Institusi Masjid

PULAU INDAH, 28 November – Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam Negeri Selangor, Dato’ Dr Hasan Mohamed Ali mengadakan Program Mendekati Rakyat (PMR), inisiatif terbaru beliau yang dalam masa sama bertujuan memakmurkan institusi masjid.

Lokasi pertama PMR yang bermula hari ini ialah di Masjid Sultan Abdul Aziz, Kampung Perigi Nenas, dekat sini dengan pengisian pelbagai aktiviti.

Bermula dengan menyampaikan khutbah jumaat, beliau kemudiannya menunaikan solat Jumaat dan mengadakan pertemuan dengan ahli jawatankuasa (AJK) tiga buah masjid, iaitu Masjid Kampung Sungai Kembung, Masjid Kampung Sungai Pinang selain Masjid Sultan Abdul Aziz.

Pertemuan itu antara lain dapat memberi penerangan mengenai dasar kerajaan negeri serta strategi pelaksanaannya yang turut dihadiri wakil Majlis Perbandaran Klang, Jabatan Pengairan dan Saliran dan Central Spectrum.

Selepas menunaikan solat Asar, Dato’ Dr Hasan mengadakan lawatan di sekitar Kampung Perigi Nenas, sebelum mengadakan kuliah Maghrib di Masjid Sungai Pinang yang akan menyentuh persoalan mengenai penghayatan Islam.

Turut diadakan, satu ceramah umum yang disertai pelbagai lapisan masyarakat dengan mengalu-alukan kehadiran masyarakat Cina dan India di kawasan sekitar untuk turut sama.

“Ia untuk kita menerangkan hubung jalin antara rakyat dengan kerajaan baru Pakatan Rakyat supaya mereka lebih memahami citarasa kita dalam mentadbir negeri Selangor,” kata Dr Hasan yang turut menyandang portfolio Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, ketika mengulas.

Apa yang unik katanya, di sebelah malam, beliau akan bermalam di salah sebuah rumah penduduk kampung tanpa mengharapkan layanan istimewa. Rumah yang terpilih juga adalah atas pilihan penduduk kampung.

“Esok saya akan mengadakan kuliah di Masjid Sungai Kembung sebelum solat subuh berjemaah. Berkat pagi hari, saya ingin bertemu dengan orang tua, orang muda, orang kurang upaya (OKU) di masjid yang perlu berfungsi sebagai wahana transformasi masyarakat,” katanya.

Dr Hasan berkata masjid seharusnya dijadikan bukan sahaja tempat untuk menunaikan ibadah bahkan sebagai pusat ekonomi, sosial dan riadah.

Beliau berharap rakyat beragama Islam tanpa batasan fahaman politik dapat mengimarahkan institusi masjid dan surau di negeri ini.

“Saya mengadakan program ini tanpa sebarang agenda tersembunyi, ia untuk semua tanpa mengira fahaman politik,” katanya.

Beliau juga berharap dapat menjelajah ke seluruh daerah di negeri ini untuk menggerakkan PMR.

No comments: