Monday, December 1, 2008

Selangor Tingkatkan Penguatkuasaan Larangan Jualan Minuman Keras Kepada Orang Islam, Belia Bawah Umur

SHAH ALAM, 26 November – Selangor tidak akan mengambil langkah drastik seperti mengharamkan penjualan minuman beralkohol sepenuhnya memandangkan rakyat di negeri ini terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

Dato’ Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata walaupun prihatin dengan kebimbangan sesetengah pihak terhadap kesan negatif minuman keras, kerajaan negeri sebaliknya akan meningkatkan tahap penguatkuasaan dari segi penjualannya.

Menurut beliau keputusan itu dibuat dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sebelum ini.

“Hasil daripada perbincangan tersebut, kerajaan negeri memutuskan untuk meningkatkan tahap penguatkuasaan bagi memastikan minuman beralkohol tidak dijual kepada orang-orang Islam dan belia di bawah umur 18 tahun,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan MMKN di sini petang tadi.

Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri akan mengadakan satu siri perbincangan bersama peniaga, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi-agensi kerajaan yang berkaitan, dijangka pada tahun depan, bagi mengenalpasti cara terbaik meningkatkan penguatkuasaan itu.

Mengulas sama ada wajar keputusan membataskan jualan arak di premis terbuka seperti yang diputuskan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akhir bulan lalu itu dibekukan, beliau berkata “Ia belum berkuatkuasa pun, ia hanya (di peringkat) penerimaan cadangan.

“Saya rasa ini tidak jadi masalah, kita akan sentiasa menerima cadangan daripada ahli-ahli majlis dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam beberapa perkara sosial dan masyarakat,” katanya.

Abdul Khalid juga ditanya berhubung kenyataan ketua publisiti DAP yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua yang menyifatkan parti Pas sebagai ‘bongkak dan sukar bekerjasama’ apabila cuba memperkenalkan peraturan membataskan jualan alkohol di Selangor tanpa merujuk parti-parti lain dalam Pakatan Rakyat.

Tony memberi reaksi demikian apabila mengulas laporan akhbar berbahasa Cina hari ini yang menyebut Pas sedang memperkenalkan langkah itu di restoran, kedai runcit dan kedai serbaguna 24 jam melalui ahli majlis PBT nya.

Jelas Abdul Khalid, soal anggota Pas yang menyatakan cadangan itu tidak menjadi persoalan kerana menurutnya orang awam termasuk Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang berbeza ideologi politik bebas mengutarakan pandangan.

Katanya pandangan itu diberikan mereka kerana mahu memastikan yang masyarakat khususnya golongan belia terhindar daripada masalah sosial akibat pengambilan minuman keras.
______________

Kalau Tony Pua tonggang ke, nak mabuk satu tempayan ke, hatta ahli keluarganya nak jadi tahi arak sekalipun atau dia nak lingkup sebab arak ke.... silakan. Tetapi jangan babitkan seluruh masyarakat dengan tabiat yang sedikit manfaat tapi banyak mudarat itu. Jangan kerana hendak menjaga kepentingan peniaga yang hanya mencari keuntungan hingga menggadaikan maruah dan nilai hidup.

No comments: