Monday, December 1, 2008

Nasib Zaid, MT putuskan esok?

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak menyerahkan kepada Majlis Tertinggi (MT) Umno untuk memutuskan tindakan ke atas bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Zaid Ibrahim berikutan kehadirannya pada Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) kelmarin.

"Saya tiada apa-apa komen tentang perkara itu. Itu keputusan MT," kata Timbalan Presiden Umno itu selepas mesyuarat Majlis Ekonomi Negara di Parlimen, di sini, hari ini.

Kehadiran Zaid telah menimbulkan rasa tidang senang di kalangan ahli Umno kerana dikatakan menunjukkan beliau tidak setia kepada parti.

Bagaimanapun, Zaid dalam laporan sebuah laman web mempertahankan kehadirannya di kongres itu dan mendakwa beliau masih merupakan anggota Umno dan tidak melihat pembangkang sebagai musuh.

Zaid juga berkata, kehadirannya di kongres berkenaan menunjukkan beliau masih berminat dalam politik dan tidak menjangkakan akan dipecat daripada Umno.

Semalam, Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta Zaid memberi penjelasan berhubung kehadirannya pada majlis parti pembangkang itu.

Zaid sebelum ini pernah diberikan surat tunjuk atas tindakan beliau menulis surat terbuka kepada Perdana Menteri dan mengadakan pertemuan dengan pembangkang berhubung syor Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ketika dihubungi minggu lalu berkata, Zaid telah menjawab surat tunjuk sebab tersebut dan keputusan mengenai tindakan ke atas beliau akan diputuskan dalam mesyuarat MT esok.

No comments: