Friday, March 27, 2009

Kepimpinan

Dari Ibn Umar dari Nabi s.a.w., sabdanya: “Ketahuilah! Setiap kamu adalah pemimpin (penggembala) dan setiap kamu akan ditanya tentang kepimpinanmu (kegembalaanmu). Seorang Amir yang berkuasa terhadap rakyat akan ditanya tentang kepimpinannya. Seorang laki-laki adalah pemimpin atas keluarganya. Dia akan ditanya tentang kepimpinannya. Seorang wanita adalah pemimpin di rumah tangga suami dan anak-anaknya. Dia akan ditanya tentang kepimpinannya. Seorang hamba sahaya adalah pemimpin atas harta kekayaan majikannya yang dipercayakan kepadanya. Dia juga akan ditanya tentang kepimpinannya. Ketahuilah, setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya tentang kepimpinannya.” (Riwayat Muslim)

Sekiranya kita memahami kepentingan empat golongan tunggak ini kepada kesejahteraan masyarakat maka kita akan berusaha untuk memberi perhatian kepada peranan mereka dan bagaimana kedudukan dan peranan masing-masing dapat diperkasakan.

Kita menyedari betapa pentingnya golongan ulama dan golongan umara kepada kesejahteraan masyarakat. Rasulullah s.a.w. pernah menegaskankan bahawa dalam masyarakat ada dua golongan yang akan menentukan buruk baiknya masyarakat tersebut. Dua golongan yang dimaksudkan ialah ulama dan umara. Jika baik dua golongan ini maka baiklah masyarakat. Sebaliknya pula, jika dua golongan ini tidak baik maka tidak baiklah masyarakat. Rasanya kebenaran yang terkandung dalam hadis ini terlalu nyata kepada semua. Orang bukan Islam juga boleh menerima kebenaran ini. Penekanan Nabi s.a.w. kepada dua golongan ini juga boleh difahami sebagai bermaksud bahawa ulama dan umara adalah dua cabang kepimpinan umat yang terpenting sekali.

Peranan utama para ulama ialah dalam bidang keilmuan. Mereka berperanan untuk memimpin umat dalam bidang ilmu pengetahuan dan pendidikan, memelihara ilmu agama, memelihara ilmu yang dapat menjamin kesatuan iman, ilmu dan amal, memajukan ilmu dalam semua bidang dan memastikan ketertiban wujud dalam sistem ilmu pengetahuan. Yang ditekankan ialah keperluan untuk memelihara institusi ulama yang disebutkan dalam seuah hadis sebagai pewaris para nabi. Para ulama dilihat sebagai pewaris peranan dan ciri-ciri kenabian, khususnya pewaris peranan dan ciri-ciri kepimpinan Nabi Muhammad s.a.w.

Dalam sejarah Islam perkembangan ilmu pengetahuan yang dimajukan oleh para ulama sehingga memungkinkan lahirnya tamadun yang maju lagi kompleks telah membawa kepada pembahagian fungsi ulama menurut bidang kepakaran dan otoriti masing-masing. Institusi ulama itu sendiri sudah berpecah kepada cabang-cabangnya yang kesemuanya memang diperlukan oleh umat. Cabang-cabang utamanya ialah ulama fekah, ulama kalam, ulama tasawuf dan ulama falsafah. Pada zaman keagungan Islam kita dapati bahawa kedinamisan empat cabang ulama inilah yang menyumbang besar kepada kemajuan dan kesejahteraan umat.

Fungsi utama para umara ialah menegakkan dan memelihara keadilan dalam masyarakat. Masyarakat akan porak peranda sekiranya ketidakadilan berleluasa di kalangan rakyat. Fungsi keadilan ini sangat ditekankan dalam al-Qur’an dan hadis-hadis Nabi s.a.w.

No comments: