Friday, March 13, 2009

Norza mengaku tidak bersalah dua tuduhan rasuah

Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Mohamad Norza Zakaria hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini terhadap dua pertuduhan memberi rasuah kepada dua individu pada 20 Jan lepas.

Beliau yang meminta untuk dibicarakan dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Mohamad Norza, 43, yang juga Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, didakwa melakukan perbuatan itu pada 6.30 petang di No 38, Pinggiran Tasik, Taman Bandar Temerloh, di sini.

Beliau didakwa secara rasuah telah memberikan kepada Khadri Musa melalui Halimi Kamaruzzan suatu suapan iaitu wang tunai RM1,500 sebagai dorongan untuk diagihkan kepada anggota-anggota perwakilan yang boleh membantu mengundi beliau untuk memenangi jawatan sebagai ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno pada pemilihan parti itu hujung bulan ini.

Di tempat yang sama dan pada tarikh dan waktu yang sama, Mohamad Norza didakwa secara rasuah memberikan kepada Mohammad Anuar Yunus, juga melalui Halimi Kamaruzzaman, suatu suapan iaitu wang tunai RM1,900 sebagai dorongan untuk diagihkan kepada anggota-anggota perwakilan yang boleh membantu mengundi beliau untuk memenangi jawatan MT Umno pada pemilihan Umno itu nanti. BERNAMA

No comments: