Monday, May 19, 2014

USTAZ ABDUL GHANI ABDUL RAHMAN: BERJUANG TANPA LELAH




" Enta tulis buku apa sekarang?"

"Baguslah...terus menulis" pesan ustaz Ghani lirih, dia tak jemu menghambur kata-kata yang inspiratif, juga kerana mantan exco ABIM yang popular dalam dekad 1970an ini begitu dekat dengan dunia akademik . Almarhum adalah mantan pensyarah UTM yang juga  seorang pendakwah yang sangat aktif mudik ke seluruh negara memberikan pengisian semenjak zaman muda.

Ustaz Abdul Ghani dengan suara serak basah mempunyai sejarah panjang dalam perjuangan Islam, semasa menuntut di Mesir dalam bidang syariah, almarhum adalah tokoh pimpinan pelajar yang menggerakkan PMRAM. Semenjak zaman bergelar aktivis pelajar, beliau sangat vokal dengan dasar-dasar negara yang tidak mesra Islam. Menuntut ilmu di bumi Mesir, tanah leluhur yang sarat dengan medan pertembungan iman dan kufur telah menyemai sikap beliau terhadap perjuangan Islam. Bumi hasan al Banna ini telah mengajar beliau getir dan nuansa perjuangan, melihat kezaliman regim terhadap anggota Ikhwanul Muslimin di zaman Anwar Sadat yang  menyaksikan mass crackdown terhadap puluhan ribu anggota Ikhwanul Muslimin yang menentang perjanjian Camp David.

Beliau menyintai gerakan amal tarbawi, menyusun gerakan anak muda supaya perjuangan Islam rendang dengan "alfahmu", bukan dengan terjahan semangat kosong. Pulang ke tanahair, gerakan sosio politik anak muda iaitu ABIM sedang menjadi fenomenal dan menampung suara vokal berorientasikan Islam kerana keberadaan PAS dalam kerajaan campuran. Beliau dan almarhum Ustaz Fadhil Noor, Nakhaie Ahmad antara graduan Al Azhar yang berada dalam barisan ABIM Pusat. Ustaz Ghani bergerak ke kampus-kampus ,juga saran anak muda yang lain untuk menyatukan saff anak muda beraliran Islam.

Beliau pernah menjawat jawatan Exco Dakwah ABIM yang popular, berusaha menyebarkan fikrah Ikhwanul Muslimin melalui tulisan tokoh-tokoh mereka. ABIM pula memegang jaringan kampus dibawah gerakan PKPIM dalam dasawarsa 70an yang sedang marak dengan kebangkitan Islam. Gerakan sosio politik ini adalah simbiosis dengan PAS dalam dekad itu seperti kajian Mutalib Hussein, seorang sarjana dari Singapura. Apabila PAS ditendang keluar daripada koalisi BN pada tahun 1977, seterusnya hilang pengkalan kuasa di Kelantan pada tahun 1978, sosok utama pejuang Islam Indonesia, almarhum Dr Mohamad Natsir telah mencadangkan pemindahan darah muda dilakukan terhadap tubuh PAS.

Ustaz Fadhil Noor, Syed Ibrahim Syed Abdul Rahman, Nakhaie Ahmad, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman adalah antara "young blood" yang memasuki PAS pada tahun 1978 saat PAS dilihat lemah. Almarhum terkenal kerana ketegasannya berdakwah dan cukup berdisiplin, semasa berkhidmat sebagai pensyarah UTM, beliau sangat terkenal di negara ini. Wajahnya muncul di kaca TV, tegas berbicara dan beliau pernah dinobatkan oleh JAWI sebagai pendakwah terbaik Wilayah Persekutuan.

Dalam dekad 80an dan 90an,kaset-kaset kuliah serta forum beliau beredar ke seluruh negara , juga padat mengisi program agama sebaris dengan Dr Harun Din, Ustaz Ismail Kamus, pak Yazid Jaafar. Beliau diamanahkan sebagai AJK PAS pusat dan juga Pesuruhjaya PAS Melaka dan dizaman beliaulah konsep markas tarbiah yang dikenali sebagai Balai Islam diperkenalkan di Melaka. Di balai-balai Islam inilah bergeraknya pengajian ilmu kerana masjid-masjid Melaka terdapat kekangan untuk mengajar ilmu agama.

Almarhum juga beberapa kali bertanding dalam pilihanraya Umum di Melaka, namun negeri adat ini sangat kebal dengan UMNO sehinggalah PAS mendapat anak sulongnya dalam PRU ke 13. Ustaz juga adalah pengasas kepada surau dan sekolah al Mustaqimah Cheras, berbakti kepada masyarakat sehinggalah beliau terbaring di atas tilam. Ribuan anggota masyarakat sentiasa mengunjungi untuk bertanya khabar, mendoakan beliau agar terus sihat. Kini almarhum telah mengadap Ilahi dengan segunung kebaktian kepada ummah, jasanya tak mampu diremehkan, malah terakam antara pendakwah yang tak lelah menyampaikan ilmu. Saya teringat kali terakhir berforum dengannya di masjid al aman Ampang, hujahan almarhum menyebabkan khalayak mengalir airmata, juga saya melihat ada genangan airmata dipipi almarhum. Fahamlah saya bahawa beliau bercakap daripada lubuk hatinya yang paling dalam, tembus pada hati manusia yang mendengar kalam beliau.

" berjuanglah...sehingga kita berehat di akhirat" kalimah itu sangat mengesankan saya. Berehatlah sang murabbi, kami adalah saksimata atas kecekalanmu berdakwah sepanjang hayat.Alfatihah!.

Oleh: Dr Riduan mohamad Nor
AJK PAS Pusat, pendakwah, Perunding Motivasi

No comments: