Tuesday, September 9, 2014

DAP Akur Dengan Sultan Selangor

KUALA LUMPUR: DAP hari ini membuat permohonan maaf kepada Sultan Selangor ekoran penzahiran rasa dukacita baginda terhadap parti itu yang hanya menghantar satu nama calon Menteri Besar Selangor yang baharu.

Dalam satu kenyataan, Setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng berkata pihaknya memohon ampun kepada Tuanku kerana telah menyebabkan Tuanku merasa dukacita dengan tindakan DAP itu.

"Bagi pihak DAP, saya ingin memohon ampun kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Selangor Daru Ehsan kerana telah menyebabkan Tuanku merasa dukacita terhadap keputusan parti DAP mengemukakan nama ADUN Kajang YB Datuk Seri Wan Azizah binti Wan Ismail sahaja sebagai calon YAB Menteri Besar Selangor yang baru," katanya.

Semalam, Istana Selangor menyifatkan tindakan PKR dan DAP yang hanya mengemukakan satu nama berhubung calon Menteri Besar Selangor yang baharu sebagai 'engkar' kepada arahan Sultan.

Dalam satu kenyataan, Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata tindakan kedua-dua pati itu yang menghantar hanya satu nama sama menggambarkan kebiadapan kepada institusi raja dan perbuatan derhaka kepada baginda.

Kenyataan itu menyebut, hanya parti PAS yang akur dengan titath DYMM Sultan Selangor dengan menyenaraikan tiga nama calon Menteri Besar Selangor.

Menurut Lim, keputusan DAP mengemukakan hanya nama Wan Azizah telah dicapai selepas rundingan dengan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa ia mengikut konvensyen yang dituruti sebelum ini berkaitan dengan lantikan YAB Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor pada 2013.

Ianya juga disertakan dengan sokongan bertulis daripada majoriti 30 daripada 56 Adun Selangor kepada Wan Azizah sebagai calon Menteri Besar Selangor, dan kata sepakat (consensus) Pakatan Rakyat bahawa calon Menteri Besar Selangor adalah daripada PKR.

"DAP mengulangi kesetiaan kepada institusi Raja Berperlembagaan yang tidak berbelah bagi dan akan berunding dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang titah Tuanku DYMM Sultan Selangor yang terkandung dalam kenyataan akhbar oleh Setiausaha Sulit Tuanku," katanya. - HARAKAHDAILY 9/9/2014

No comments: