Tuesday, September 9, 2014

Tanpa persetujuan daripada Majlis Syura Ulamak sesuatu perkara tidak boleh dilakukan.

Perjalanan panjang harakatul ummah ini sangat berwarna warni, menerjang badai di samudera medan amal Islami yang luasnya tak bertepi, bersulam mehnah dan tribulasi. Dalam bahtera besar gerakan Islam PAS ini, Majlis Syura Ulamak merupakan pancang perjuangan, badan terpenting, malah membezakan PAS dengan parti-parti serta NGO-NGO yang lain.

Kini, badan penting ini menerima terjahan dan kritikan daripada luar dan dalam PAS, seputar isu perlantikan MB Selangor yang dramatik. Media sosial digunakan semaksimum mungkin untuk mengikis wibawa badan yang tercetus daripada usul Dewan Pemuda PAS Pusat dalam muktamar PAS pada 22 Oktober 1982, seiring dengan transformasi yang berlaku dalam kepimpinan PAS.

Semarak kebangkitan Islam telah menjelmakan konsep kepimpinan ulama, PAS dengan agresif mewajahkan wataknya yang tertegak diatas tunjang dakwah, tarbiah dan siasah. Penubuhan Majlis Syura Ulamak adalah cetusan bagaimana PAS berinteraksi dengan transformasi kepimpinan itu. Badan yang menghimpunkan ulama berwibawa mentarjih halatuju dan perjalanan parti Islam tertua di negara ini, penyambung legasi Hizbul Muslimin yang diharamkan pada tahun 1948.

Peranannya jelas, iaitu Majlis Syura Ulamak berkuasa menghurai, menjelas dan mentafsir dasar PAS di mana-mana peruntukan di dalam perlembagaan PAS yang hendak menimbulkan kesamaran mengenai maksud dan tujuannya serta membuat kesamaran mengenai maksud dan tujuannya serta membuat ketetapan mengenainya, mengeluarkan arahan dan perintah supaya dasar dan ketetapan ini dipatuhi dan dilaksanakan oleh mana-mana pihak atau badan di dalam PAS dan mengawasai serta memelihara dasar supaya dasar dan ketetapan serta kehendak dalam Perlembagaan parti dipatuhi dalam kegiatan, gerakan dan pentadbiran PAS serta memelihara, menjaga dan mengawal tatatertib PAS.

Berdasarkan kepada skala tugas yang dinyatakan dalam Perlembagaan PAS, maka jelaslah penubuhan Majlis Syura Ulamak adalah ke arah mengukuhkan lagi kedudukan ulamak di dalam gerakan Islam ini dan meletakkan mereka di tempat yang sepatutnya. Peranan mereka bukan sahaja menyatu tenaga dan fikiran sesama ulamak tetapi juga terfokus dan terarah kepada persoalan-persoalan yang menyentuh dasar dan perjalanan parti ini. Segala gerak kerja PAS  yang hendak dilakukan mestilah mendapat persetujuan daripada Majlis Syura Ulamak. Dengan wujudnya badan ini, mampu mengatasi stail kepimpinan berorientasikan individu  yang pernah berlaku dalam PAS dalam dekad 70-an.

Bagi mengesahkan kepimpinan ulamak di peringkat PAS Pusat maka pindaan Perlembagaan PAS dibuat dalam Muktamar Tahunan Agung PAS Pusat yang ke-29 pada 29 April 1983 telah meluluskan pindaan Perlembagaan PAS bagi menubuhkan Majlis Syura Ulamak. Pindaan ini kemudian diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan pada 18 Mac 1987 bagi membolehkan seorang Mursyidul Am dilantik (Perlembagaan PAS, Fasal 7, 1987:4-9) dan Ustaz Haji Yusuf Rawa dilantik sebagai al-Mursyidul Am PAS pertama pada Nov 1987. Uniknya beliau juga Presiden PAS saat itu.

Majlis Syura Ulamak berfungsi sebagai badan yang memantau dan mengawal agar perjuangan parti terus selari dengan syariat Islam, tidak bercanggah dengan syarak, dengan erti kata lain, PAS terpandu dengan pedoman Islam. Ustaz Haji Yusof Rawa menegaskan penubuhan Majlis Syura Ulama ini adalah untuk mengembalikan peranan ulamak sebagai pemimpin ummah dan segala dasar, segala keputusan parti akan sentiasa berpaut kepada ajaran Islam dan tidak akan keluar daripada panduan dan bimbingan mereka (Yusof Rawa, 1987:18)

Penubuhan Majlis Syura Ulamak tidak lagi mahu melihat PAS membuat satu keputusan yang dikuasai oleh individu atau puak tertentu dalam parti. Kedudukan ulama PAS yang sebelum ini agak dikesampingkan, akhirnya telah mula memainkan peranan penting dalam pembentukan perjalanan parti, segala dasar yang hendak dijalankan mesti terlebih dahulu dirujuk kepada Majlis Syura Ulamak. Tanpa persetujuan daripada Majlis Syura Ulamak sesuatu perkara tidak boleh dilakukan. Ini merupakan asas perubahan yang begitu drastik sehingga tidak ada lagi mereka yang boleh mempermainkan dasar dan prinsip PAS.

Dalam sejarahnya ramai tokoh sarjana Islam menganggotai majlis ini seperti Prof. Dr Abdul Aziz Hanafi, Prof Dr Rashid Dail, Prof Dr Salleh Ahmad, Dr Sabri Salamon, Prof Madya Dr Johari Mat, Prof Dr Kamaruzaman Yusuf, Almarhum Ustaz Hasan Shukri, Almarhum Ustaz Yahya Othman, almarhum Datuk Harun Taib dan ratusan nama sarjana Islam dalam tempoh tiga dekad ini.

Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menjadi Mursyidul Am yang kedua dan dibantu oleh Prof. Datuk Dr Harun Din. Abnaul harakah wajib berterima kasih atas keberadaan majlis ini dalam parti Islam kerana mereka adalah vanguard atau pengawal yang meluruskan perjalanan parti Islam ini, bak kejora di langit malam.

DR RIDUAN MOHAMAD NOR.
AJK PAS Pusat
AJK Lajnah Politik Pusat

No comments: