Monday, November 17, 2008

Anwar: Pakatan pertahan Islam dan hak istimewa Melayu

Jimadie Shah Othman | Nov 17, 08 12:30pm

Ketiga-tiga parti anggota Pakatan Rakyat menerima kedudukan hak istimewa orang Melayu, bahasa Melayu dan agama Islam sebagai agama persekutuan sepertimana terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Menurut beliau, isu berhubung perkara itu tidak perlu dirisaukan lagi kerana persefahaman mengenainya telah dibuat antara ketiga-tiga parti anggota Pakatan - PKR, DAP dan PAS.

Malah, tegas Anwar lagi, kenyataan bahawa kesemua pihak telah bersetuju mengenai perkara itu, telah dikeluarkan pada 8 September lalu.

Kenyataan tersebut atara lain menegaskan bahawa Pakatan sekali lagi mengulangi pendirian menjunjung prinsip-prinsip dasar yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ini termasuk soal-soal dasar seperti kedudukan Islam sebagai agama persekutuan dan menjaminkan kebebasan mengamalkan agama lain, kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, dan mempertahan hak bahawa ibunda, kedudukan kedaulatan dan institusi Raja-raja Melayu serta kedudukan hak istimewa orang Melayu dan bumiputera, serta hak-hak semua kuam yang telah dijamin oleh Perlembagaan.

Menurut kenyataan itu lagi, berdasarkan prinsip-prinsip perlembagaan tersebut, Pakatan menolak sekeras-kerasnya pendekatan politik perkauman sempit.

Oleh itu, tegas Anwar, tidak timbul lagi sebarang salahfaham mengenai isu yang membabitkan hak istimewa orang Melayu, bahasa Melayu dan agama Islam.

Anwar menegaskan demikian dalam ucapannya di majlis perjumpaan khas dengan guru KAFA di Selangor di Shah Alam hari ini. Hadir sama ialah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

No comments: