Thursday, November 27, 2008

Tiada larangan jual arak di Selangor - Anwar

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK

KUALA LUMPUR: Tiada larangan bagi premis-premis terbuka di Selangor untuk menjual minuman berakohol, kata Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, pada dasarnya tiada sebarang cadangan bagi kerajaan negeri untuk membuat larangan penjualan alkohol di premis terbuka.

"Bagi saya tidak ada apa-apa masalah kerana dasar itu agak jelas kerana kita bukan menidakkan keinginan orang bukan Islam tetapi sekadar tidak menggalakkan golongan muda khususnya umat Islam minum arak," katanya di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan akhbar berbahasa Cina hari ini yang menyiarkan laporan bahawa PAS Selangor mencadangkan supaya penjualan minuman berakohol tidak dijual secara terbuka.

Bagaimanapun Anwar berkata, sebarang dasar mengenai penjualan arak ini seharusnya dibincangkan dan diputuskan oleh kerajaan negeri menerusi mesyuarat exconya.

"Kalau nak buat sebarang perubahan, kita biarkan Menteri Besar dan barisan exco kerajaan negeri yang tentukannya.

"Isu besar seperti ini, kerajaan negeri mesti buat keputusan mengenai polisinya," katanya.

Namun jelas beliau, Pakatan Rakyat sebagai kerajaan yang mengamalkan dasar demokratik perlu memberi ruang kepada semua pihak untuk menyuarakan pandangan mengenai isu ini.

"Rakyat memberi pandangan dan maklum balas dan kita mesti mendengarnya tetapi dalam aspek dasar, tidak ada sebarang masalah," katanya.

Jelasnya tiada sebarang perubahan yang dibuat kerana pada dasarnya umat Islam tetap tidak digalakkan untuk mengambil minuman keras.

Tambah beliau lagi, kemungkinan exco kerajaan negeri akan memutuskan sedikit perubahan-perubahan kecil berhubung perkara itu.

"Kemungkinan ada perubahan polisinya terutamanya yang berkaitan dengan golongan muda, kerana jika dijual ia tak sepatutnya boleh dilihat hingga mampu untuk menggalakkan orang Islam minum (arak).

"Kita tak mahu jual kepada golongan muda dengan mudah...yang lain tak ada perubahan," katanya.

__________________

NOTA : Tindakkan yang lebih tegas termasuk membatalkan lesen premis patut dilaksanakan sekiranya mereka menjual arak kepada orang Islam dan mereka yang dibawah umur 18 tahun (tidak kira agama). Ini bagi memelihara keharmonian masyarakat dan masa depan generasi muda. Tidak timbul PAS bongkak atau sombong kerana PAS hanyalah mahu memelihara kebajikan dan kemaslahatan umat Islam dan masyarakat. DAP boleh tidak bersetuju kerana mereka cuba memelihara perniagaan mereka. Tetapi janganlah sampai menimbulkan keresahan kepada rakyat.


No comments: