Thursday, June 3, 2010

JAKIM Akan 'Gempur' Hotel Tiada Sijil Halal

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan "menggempur" hotel-hotel di seluruh negara bagi memastikan premis berkenaan memiliki sijil halal yang diiktiraf.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata, pendekatan itu perlu dilakukan bagi menjaga kepentingan pengunjung serta pelancong luar negara beragama Islam di samping menjaga nama baik industri pelancongan negara.

"Kita akan mengadakan kempen 'menggempur' ini supaya pengusaha-pengusaha hotel memperoleh sijil halal daripada Jakim atau Jabatan Agama Islam Negeri-negeri.

"Kita tidak mahu pelancong dari luar terutamanya dari Timur Tengah yang mula datang beramai-ramai sekarang terperdaya dengan promosi makanan yang ditawarkan hotel-hotel berkenaan tetapi mereka tidak mempunyai sijil halal," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Daripada semakan di laman web e-halal Jakim, hanya 60 dapur hotel di seluruh negara yang mempunyai sijil halal Jakim sedangkan bilangan hotel di Malaysia mencecah lebih 2,000 buah.

Buat permulaan, Wan Mohamad berkata, pihaknya akan mengadakan kempen tersebut di hotel dalam kawasan peranginan yang menawarkan pakej pelancongan seperti di Batu Feringgi, Langkawi, Genting Highlands dan Melaka.

Beliau berkata, Jakim akan mengambil pendekatan berbincang dan menasihati para pengusaha hotel berkenaan terlebih dahulu, supaya mereka mendapatkan sijil halal tersebut.

Bagaimanapun, jika hotel terbabit masih ingkar, Jakim akan pergi ke premis berkenaan dan sekiranya masih berdegil, kita akan umumkan nama hotel tersebut, katanya.

"Operasi ini sebenarnya sudah bermula tetapi kita akan mengadakannya secara besar-besaran dalam tempoh terdekat. Ini kerana kebanyakan hotel di negara ini masih belum memiliki sijil halal," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kesemua hotel bertaraf tiga bintang ke atas di Sarawak sudah memperoleh sijil halal.

"Ini disebabkan polisi kerajaan Sarawak bahawa sebarang acara rasmi kerajaan negeri hanya diadakan di hotel yang mempunyai sijil halal," katanya. - BERNAMA

Note : Hotel-hotel sepatutnya diberi arahan untuk meletakkan sama ada tanda HALAL atau TIDAK HALAL dan bukannya memberi pilihan.

No comments: