Pertubuhan Damai Perdana Global (Perdana Global) menuntut pembebasan segera tanpa syarat kesemua aktivis damai, pekerja bantuan kemanusiaan dan anak-anak kapal Rachel Corrie yang dirampas secara haram oleh Pasukan Pertahanan Israel.
Penasihatnya Datuk Mukhriz Mahathir berkata delegasi Malaysia terdiri daripada anggota Parlimen Mohd Nizar Zakaria, anggota Perdana Global Shamsul Akmar, Matthias Chang dan Ahmad Faizal Azumu, serta dua anggota akhbar, Halim Mohamed dan Mohd Jufri Judin dari TV3.
Mereka disertai di atas kapal oleh bekas Penolong Ketua Setiausaha Pertubuhan Bangsa Bersatu Dennis Halliday, Pemenang Hadiah Nobel Mairead Maguire, Derek dan Jenny Graham dari Free Gaza Movement dan pembikin filem dokumentari Fiona Thompson.
"Tindakan tidak bermoral dan tidak dapat diterima itu oleh Pasukan Pertahanan Israel merampas Rachel Corrie dari perairan antarabangsa sebelum sampai di pelabuhan Gaza adalah satu tindakan lanun," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur pada Sabtu malam.
Beliau berkata: "Israel telah melakukan jenayah serius di lautan lepas. PGPO menuntut semua rakyat Malaysia dan warga negara lain di atas kapal Rachel Corrie dibebaskan segera tanpa diapa-apakan".
Mukhriz mengulas rampasan MV Rachel Corrie, kapal terakhir yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza yang dikepong Israel, oleh tentera laut regim itu pada kira-kira 2.45 ptg (Waktu Malaysia) hari ini dan kemudian dikemudi ke pelabuhan Ashdod.
"Tindakan primitif dan unilateral seumpama itu (oleh Israel) mencabuli undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia.
"Kami menggesa rakyat Malaysia dari semua agama dan kepercayaan agar mendoakan keselamatan rakyat Malaysia yang diculik, begitu juga anggota-anggota lain kapal bantuan kemanusiaan itu," kata beliau.
Beliau berkata rakyat Malaysia mesti bersatu menentang ketidakadilan dan kekejaman rejim Zionis terhadap anggota-anggota kapal perdamaian untuk menamatkan kepungan yang tidak boleh diterima dan membantu meringankan penderitaan rakyat Gaza yang berani dan tidak berdosa.
Misi bantuan itu ditaja oleh Perdana Global, sebuah NGO Malaysia. Kapal Rachel Corrie diberi nama sempena seorang wanita Amerika yang terbunuh oleh jentolak tentera Israel di Semenanjung Gaza pada 2003, ketika membantah perobohan rumah-rumah oleh rejim itu.
- Bernama
No comments:
Post a Comment