Tuesday, November 13, 2007

MENTERI BESAR AKU JUGA...

Penyapu yang sial dijadikan hadiah
oleh : Roslan SMS


Orang Melayu menganggap penyapu itu satu alat yang sial. Ianya bukanlah sesuatu yang tidak masuk akal kerana penyapu itu hakikatnya adalah alat yang digunakan untuk menolak keluar kotoran dan najis. Kerana itu penyapu tidak dibuat barang permainan kerana kalau terkena sesiapa ianya tidak manis dan mengaibkan. Lalu tidak terdapat dalam adat orang Melayu mana-mana orang yang waras dan beradat yang menghadiahkan pula seseorang lain dengan penyapu.





Khir Toyo Menteri Besar satu-satunya Negeri Maju di Malaysia, kerana nak menunjukkan kehebatan kepimpinan beliau telah memilih untuk menghadiahkan penyapu kepada PBT di negerinya yang gagal mencapai target kutipan hasil yang ditetapkan, selain kerana mempamirkan mutu perkhimatan yang kurang memuaskan.

Semalam di Shah Alam sempena Hari Anugerah Khas Prestasi Kutipan Hasil 2006, Khir menghadiahkan penyapu kepada dua agensi kerajaan negeri iaitu Majlis Daerah Hulu Selangor dan Pejabat Tanah Hulu Selangor. Mereka menerima penyapu yang sial itu kerana gagal menepati target kutipan hasil sebanyak 90% dan tunggakan sebanyak 70%.

Ruangan Bisik-bisik Awang Selamat dalam Utusan Malaysia memuji kelainan Khir yang dikatakan kononnya agresif dalam menggerakkan pembaharuan itu.

Apa pun bagi saya tindakan menghadiahkan penyapu itu agak keterlaluan. Cara memimpin dengan mengaibkan orang yang dipimpin bukannya stail sebuah negara maju tetapi stail yang diamalkan oleh orang yang tidak berpelajaran dan para diktator.

Benarlah kutipan hasil dan tunggakkan itu penting bagi kerajaan negeri, tetapi dalam hal ini banyak kajian perlu dibuat bagi mencari alasan kenapa para penduduk gagal atau enggan membayar hasil. Kesalahan tidak sewajarnya diletakkan atas bahu agensi kerajaan semata-mata. Hulu Selangor adalah kawasan luarbandar. Apakah rakyat di sana berpuas hati dengan perkhidmatan dan kemudahan yang diberikan, atau mungkinkah banyak yang tidak mereka nikmati sehingga mengakibatkan mereka enggan menyumbang.

Hulu Selangor tidak boleh disamakan dengan Petaling yang tahap pendidikan dan ekonomi rakyatnya lebih baik.

Bagi saya banyak cara dan kaedah lain boleh digunakan oleh Khir selaku MB untuk bukan hanya memantau tetapi memperkenalkan pendekatan yang efektif bagi meningkatkan kutipan hasil. Tetapi menghadiahkan penyapu bagi saya sangat mengaibkan dan amat tidak wajar walaupun beliau berkata kononnya tujuan menghadiahkannya bukanlah untuk memalukan, kalu tidak malukan, apalagi tujuannya?!

Menurut laporan The Star ternyata tindakan Khir itu tidak disenangi oleh kakitangan kerajaan yang hadir:

Many staff members shook their heads when the brooms were presented to their recipients.

Ramai kakitangan yang menggeleng-gelengkan kepala apabila penyapu itu dihadiahkan kepada penerimanya.

Mungkin kita juga boleh mengenakan target kepada Khir, dan menghadiahkan beliau penyapu lidi jika gagal dalam pencapaiannya. Negeri Maju yang diisytiharkannya pada 2005 masih banyak belum menepati apa yang dicita-citakannya. Saya mencadangkan agar rakyat Selangor dan kakitangan awam negeri membaca buku: Selangor Maju Menuju Wawasan Syumul 2005, yang diterbitkan oleh Pejabat MB semasa Khir baru menjadi MB dulu. Lihat satu persatu target yang dutetapkan oleh Khir bagi kerajaannya. Kalau kita halusi bukan satu malah berpuluh-puluh penyapu yang sial-sial boleh kita hempapkan atas kepalanya.

Jangan hanya pandai mengukur orang, kelak orang lain pun boleh mengukur anda.

No comments: