Thursday, January 22, 2009

Bekas Adun dituduh rasuah

Oleh : Fatin Hafizah Mohd Shahar
fatin@bharian.com

KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Semenyih, Datuk Ahamad Kuris Mohd Nor didakwa di dua Mahkamah Sesyen di sini dan Ampang, semalam, atas tuduhan empat menerima rasuah berjumlah RM220,000, dua tahun lalu.



Ahamad, 52, menghadapi tiga tuduhan pertama di Mahkamah Sesyen Ampang, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua tuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Noradidah Ahmad.

Bagi tuduhan pertama, dia didakwa meminta rasuah RM170,000 daripada pemilik syarikat Ufuk Rata Sdn Bhd, Azlan Ahmad Marshid, sebagai dorongan untuk membantu mendapatkan tender bagi kerja pembinaan jalan keluar-masuk 100 kaki, Taman Impian Ehsan, Balakong dekat sini.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Ufuk Rata Sdn Bhd, No 10A, Tingkat 1, Jalan Mesra Niaga Batu 13, Jalan Cheras, Kajang, jam 11.53 pagi, 26 Februari 2007.

Bagi tuduhan kedua dan ketiga, dia didakwa menerima rasuah masing-masing RM20,000 dan RM5,000 daripada Azlan bagi tujuan sama di Pejabat Umno Bahagian Ulu Langat, Tingkat 2, Bangunan Umno, Jalan Tuanku Hishamuddin, Kajang, jam 12.30 tengah hari, 11 Mei 2007 dan 17 Ogos 2007.

Ahamad turut mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan alternatif bagi tuduhan kedua dan ketiga iaitu dengan curang menyalahgunakan wang tunai RM20,000 milik Umno bahagian Hulu Langat di Pejabat Umno Bahagian Ulu Langat dan menyalahgunakan wang tunai RM5,000 milik Umno di tempat dan waktu sama, pada 17 Ogos 2007.

Ketua Unit Pendakwaan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abdul Razak Musa memohon mahkamah mengenakan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin.

Peguam bela Akbardin Abdul Kadir bagaimanapun memohon mahkamah mengurangkan jaminan kerana anak guamnya menanggung enam anak selain memberi kerjasama ketika siasatan.

Mahkamah kemudian menetapkan RM35,000 sebagai jaminan dengan seorang penjamin dan menetapkan 12 Mac ini bagi sebutan kes.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen Jalan Duta, Ahamad turut mengaku tidak bersalah menerima rasuah RM5,000 daripada Azlan dalam membuat bayaran kad kreditnya bagi tujuan sama.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Malayan Banking Berhad, Menara Maybank, Jalan Tun Perak, 27 Februari 2007.

Hakim Rosbiahanin Arifin tidak memutuskan sebarang jaminan, sebaliknya membenarkan jaminan sama diputuskan Hakim Mahkamah Sesyen Ampang dan menetapkan perbicaraan kes itu berjalan serentak di mahkamah berkenaan.

No comments: