Thursday, January 22, 2009

MB Selangor dan Lembu Korban

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan berhubung dakwaan tentang pembelian 46 ekor lembu untuk program Hari Raya Haji diperingkat kawasan Parlimen Bandar Tun Razak bagi 46 surau dan masjid di kawasan tersebut.

Kenyataan pejabat menteri besar hari ini berkata, kerajaan negeri sentiasa berpegah teguh kepada konsep ketelusan dan bertanggungjawaban secara menyeluruh dalam menjalankan pentadbiran negeri dan anak syarikat.

Oleh itu, katanya, menteri besar peka kepada tuduhan yang dilempar oleh sesetengah pihak berhubung pembelian 46 ekor lembu untuk program Hari Raya Haji tersebut.

Pagi, Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak) membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Abdul Khalid kerana didakwanya telah menyalahgunakan dana kerajaan negeri.

Pengerusi Gerak, Mohd Nazree Mohd Yunus mendakwa, Abdul Khalid menggunakan wang negeri untuk menaja 46 ekor lembu untuk korban dan mengedarnya kepada penduduk Bandar Tun Razak di Kuala Lumpur ketika Hari Raya Korban Disember lalu.

Sehubungan itu, kenyataan itu berkata:"Menteri besar ingin menegaskan bahawa dana kerajaan negeri Selangor tidak digunakan untuk pembelian lembu korban untuk Bandar Tun Razak," kata kenyataan itu lagi.

"Sebaliknya, lembu korban telah didermakan oleh enam anak syarikat dan syarikat bersekutu kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS)," kata kenyataan tersebut.

Menurutnya lagi, adalah difahamkan syarikat-syarikat berkenaan telah menaja peruntukan pembelian lembu korban bagi Bandar Tun Razak atas dasar tanggungjawab sosial korporat tanpa arahan dari mana-mana pihak di peringkat kerajaan negeri.

"Malah, menteri besar juga tidak tahu menahu syarikat mana yang terlibat. Perlu ditegaskan kerajaan Pakatan Rakyat tidak akan membuat apa-apa keputusan yang boleh menyebabkan kerugian kepada rakyat Selangor.

"Dalam pada itu kerajaan negeri berharap pihak berkuasa akan menjalankan siasatan yang adil dan tidak pengaruhi oleh sesetengah pihak yang mempunyai agenda politik yang tersembunyi.

"Menteri Besar akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan," tambahnya.

No comments: