Tuesday, January 6, 2009

Ziarah EXCO bertemu Rakyat ke DUN Dusun Tua cipta sejarah

Tahun baru 2009 telah memberikan ruang buat DUN Dusun Tua melakar satu sejarah baru. Bermula saat Solat Jumaat pada 2hb Januari 2009 lepas, 'Program PMR, Program Mesra Rakyat' telah memberikan ruang buat salah seorang pimpinan tertinggi Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor iaitu Y.B. Dato' Dr Hassan Mohd Ali yang juga merupakan ADUN N-17 Gombak Setia serta Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam untuk mendekati rakyat khususnya di DUN Dusun Tua ini.

Program sehari suntuk yang bermula tengah hari Jumaat dan tamat pada pagi Sabtu 3hb Januari 2009 menyaksikan YB Dr Hasan Ali berkesempatan untuk menyampaikan khutbahnya yang penuh dengan peringatan dan amaran berkaitan isu masa kini yang berlaku di dalam masyarakat. Khutbah disampaikan di Masjid Batu 14 Hulu Langat.

Selepas itu kira-kira jam 3 petang YB Dr bergerak ke Dewan MPKj bersama pimpinan tempatan untuk sesi Dialog antara pimpinan JKKK dan pimpinan Masjid/Surau Daerah Hulu Langat.

Apa yang paling bermakna ialah program selepas itu di mana YB Dr Hassan Ali juga berpeluang untuk menziarahi serta beramah mesra bersama YBhg. Ustaz Adinin Bin Ngadikun selaku Pengerusi JKKKP Kg Jawa Batu 18 yang juga antara pimpinan UMNO tempatan.

Inilah julung-julung kali dalam sejarah menyaksikan pimpinan Kerajaan Negeri Selangor Pakatan Rakyat sudi untuk beramah mesra dengan pimpinan yang berlainan aliran parti politik. Tahniah diucapkan diatas keterbukaan kedua-dua belah pihak yang sudi untuk bersama-sama atas nama ukkhuwwah Islamiyah. Semoga usaha ini akan merintis usaha untuk saling bantu-membantu dan memperteguhkan Ummah.

YB Dr Hassan Ali berkesempatan berehat dan menjamu selera di rumah salah seorang AJK Masjid Al-Muttaqin Batu 16 bersama-sama beberapa pimpinan JKKK Batu 16 Dusun Tua.

Selepas bersama-sama solat Maghrib berjemaah di Masjid Kg Jawa Batu 18, YB Dr Hassan Ali menyampaikan kuliah Maghrib dengan mengingatkan semua jemaah tentang permasalahan yang berlaku khususnya melibatkan gejala sosial di kalangan anak-anak muda.

Program yang padat ini seterusnya diisi dengan majlis ceramah dan penyerahan bantuan zakat yang sepatutnya diadakan di Padang Awam Pekan Batu 14. Namun disebabkan gangguan pihak berkuasa program terpaksa ditukar lokasinya di perkarangan masjid Batu 14. Majlis ceramah turut menyaksikan YBhg Sdr. Roslan Shahir Ahli Majlis Perbandaran Subang Jaya yang juga merupakan Setiausaha Akhbar bagi Presiden PAS. Selain itu majlis turut diserikan dengan penyerahan Cek RM50,000 untuk pembinaan surau dari wakil syarikat Trans Royal kepada Persatuan Penduduk Taman Perkasa yang diwakili oleh Naib Pengerusinya iaitu Sdr. Yaakob.

Paling menarik, kehadiran YBhg. Kapten (B) Abu Zahar Hashim yang merupakan mantan Ketua Bahagian UMNO Petaling Jaya yang turut hadir di dalam majlis ini.

Program kemuncak iaitu Qiyamulail dan Munajat Perdana serta Kuliah Subuh di Masjid al-Muttaqin Kg Batu 16 Dusun Tua yang bermula jam 4.00 pagi. YB Dr Hassan Ali sendiri mengimamkan keseluruhan solat sunat bersama para jemaah, menitiskan airmata taubat dan memimpin zikir serta munajat kepada Allah SWT.

Solat Subuh diimamkan oleh YB Dr Che Rosli Che Mat Ahli Parlimen Hulu Langat dan kuliah disampaikan oleh YB Dr Hassan Ali sehingga jam 7.30 pagi. Para jemaah hampir sahaja memenuhi ruang solat masjid dan kedaan kereta seolah-olah seperti solat Jumaat. YB Dr Hassan Ali jug turut menjelaskan kehadiran di Masjid Dusun Tua ini merupakan yang tertinggi jika dibandingkan dengan 3 sesi program yang sama di daerah berlainan.











Penutupan yang sangat ceria ini telah menyaksikan juga kesemua hadirin dijemput menjamu selera bersarapan bersama pimpinan di Kedai Kopi Abg Joe di batu 16 Dusun Tua.















Tahniah dan syabas kepada semua yang terlibat khususnya kepada Sdr Md Jan Sulong Pengarah MTD Dusun Tua merangkap Ahli Majlis MPKj, Sdr Sany Hamzan Pengarah JPD Dusun Tua dan kesemua Ketua Kampung DUN Dusun Tua dan Nazir Masjid DUN Dusun Tua serta para AJK-AJK.

Kepada VIP yang mengiringi ziarah YB Dr Hassan Ali dari awal hinggalah akhir program Syukran Jazilan diucapkan kerana pengorbanan dan kesudian turut sama mengimarahkan keseluruhan program ini.

Antaranya ialah YB Dr Che Rosli Che Mat Ahli Parlimen Hulu Langat, YBhg. En. Zainal Abidin A'ala Pegawai Daerah Hulu Langat, Al-Fadhil Usta Mohd Amin Husin Pegawai Tadbir Agama JAIS Hulu Langat.

No comments: