Wednesday, June 10, 2009

Kerajaan Perpaduan II

Bukan berhasrat untuk membantah kenyataan Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Mustafa Ali yang mahukan perbincangan mengenai perkara ini dihentikan, hanya mahu memberi prespektif yang berbeza dari pelbagai sudut. Yang lebih penting dari itu adalah faedah yang boleh dicapai oleh PAS dalam memperjuangkan Islam dan keadilan kepada seluruh rakyat Malaysia umumnya.

Kesungguhan UMNO untuk menyambut lontaran idea TG DS Hj Hadi berkenaan Kerajaan Perpaduan boleh dilihat dari beberapa segi:

  1. PAS berada dilandasan yang kukuh dan mempunyai nilai yang tinggi kepada UMNO.
  2. UMNO cuba mengambil kesempatan untuk menggunakan idea Kerajaan Perpaduan bagi mewujudkan keretakkan dalam Pakatan Rakyat.
Sekiranya kita melihat dari pandangan yang pertama, ini bermakna PAS sebenarnya tidak memerlukan UMNO bahkan UMNOlah yang terdesak mahu bersama dengan PAS demi survival politik UMNO yang semakin suram dan ditelan zaman. Dalam keadaan ini sepatutnya UMNO menyertai PAS dan bukan sebaliknya.

Kerajaan perpaduan diwujudkan bukan bermakna PAS menyertai UMNO atau BN tetapi sebaliknya kerajaan mengurangkan tekanan kepada musuh politik (PR) bagi menumpukkan kepada perkara yang lebih penting iaitu pembangunan ekonomi dan negara. Atau dalam kata lain 'berdamai' atau genjatan senjata atau kurangkan politiking.

Tidak benar kata Tun M sekiranya PAS dan UMNO 'beramai' maka tidak wujud pembangkang yang berkesan bagi mewujudkan check and balance dalam kerajaan. PAS akan terus berperanan sebagai check and balance kerana PAS tiada kepentingan dalam BN dan tidak perlu mematuhi arahan BN. Pandangan PAS masih bebas dari kongkongan BN dan Najib.

Tetapi sekiranya tujuan UMNO membangkitkan dan mewar-warkan Kerajaan Perpaduan untuk melemahkan Pakatan Rakyat, maka saya lihat ianya telah sedikit sebanyak berjaya. UMNO kini menggunakan semua media dan jentera kerajaan untuk mengambil kesempatan itu. Ditambah pula dengan PRK Manik Urai, senjata ini mungkin berjaya memberi kemenangan UMNO di Manik Urai. Berdasarkan kenyataan yang dibuat terutama oleh DAP dan mereka yang tidak mengambil kira sentimen dan kepentingan Pakatan Rakyat maka UMNO telah melepasi fasa pertama iaitu mencetuskan krisis kepercayaan dikalangan 'pemimpin' PAS dan rakan dalam PR.

Ini bermakna kenyataan Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Mustafa Ali tepat pada masanya. Sebagai orang yang arif dalam selok belok dan sepak terajang politik adalah lebih baik semua pihak tidak membuat kenyataan yang mengeruhkan lagi keadaan.

TG DS Hj Hadi berjaya dalam melontaran idea yang ideal dalam mengambil kira kepentingan rakyat dan negara. Tidak semestinya wajib dilaksanakan tetapi sesuatu yang perlu diambilkira dan dibincangkan. Idea itu juga menjadi kayu ukur bagi menguji kekuatan PR dan kelemahan UMNO. Malangnya terlalu banyak orang yang cuba mengambil kesempatan untuk kepentingan diri dan politik semata-mata. PAS sebagai sebuah parti yang demokratik sudah tentu apabila Presiden berucap, kalau setuju diperbahaskan dan kalau tidak ditolak. TG DS Hj Hadi bukannya penentu segalanya didalam parti. Pelbagai peringkat kepimpinan dan majlis Syura ada untuk membuat ketetapan dan keputusan sebelum sesebuah keputusan diambil.

Mungkin ada baiknya kita tak payah berbuat baik dengan UMNO. Kebumikan sahaja UMNO dan bawa semua penyokong UMNO masuk PAS bagi menguatkan sokongan PAS. Sekiranya PAS kuat dan menguasai kerajaan negeri dan juga majoriti kerusi Parlimen ianya lebih dari cukup untuk membela nasib Islam, Melayu dan rakyat Malaysia keseluruhannya. Secara automatik PAS layak memerintah Malaysia dan menyandang jawatan Perdana Menteri. Kedudukkan Anwar Ibrahim...... kita boleh bincangkan perkara ini selepas itu. Kini PAS ada calon yang amat berwibawa dan diterima oleh rakyat iaitu DS Nizar bagi mengepalai negara selain TG DS Hj Hadi Presiden sendiri.

Mungkin visi ini terlalu ideal tetapi tidak mustahil untuk berlaku.

No comments: