Monday, October 26, 2009

Bajet 2010 untungkan kerajaan: Anwar

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hasil daripada yuran kad dan cukai keuntungan hartanah yang diperkenalkan semula, jauh melebihi kebajikan yang diagihkan kepada rakyat melalui potongan dan pengecualian cukai.

Dalam Bajet 2010, kerajaan mengumumkan pengurangan kadar cukai pendapatan individu dari 27 peratus kepada 26 peratus selain menaikkan pelepasan cukai daripada RM8,000 kepada RM9,000, pelepasan dalam bayaran yuran internet, pembelian komputer, kenaikan pelepasan caruman KWSP dan sebagainya.

Berucap membahaskan bajet tersebut di Dewan Rakyat hari ini, Anwar yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, secara kasarnya rakyat menikmati peruntukan kebajikan dalam bentuk pengecualian dan pelepasan cukai hanya dalam lingkungan RM500 juta.

"Walaubagaimanapun kerajaan mengenakan bayaran RM50 untuk kad kredit utama dan RM25 untuk kad tambahan. Dianggarkan kerajaan akan memperolehi pendapatan lebih daripada RM400 juta daripada yuran kad-kad ini yang keluar daripada poket rakyat.

"Ini tidak termasuk lagi cukai keuntungan hartanah sebanyak 5 peratus yang diperkenalkan semula. Hasil daripada yuran kad dan cukai keuntungan hartanah ini jauh melebihi kebajikan yang diagihkan kepada rakyat melalui potongan dan pengecualian cukai," tambahnya.

Sehubungan itu, Anwar yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh bertanya adakah benar bajet ini berkebajikan kepada rakyat.

"Apa yang berlaku, ia bertentangan dengan usaha kerajaan untuk meneruskan agenda ekonomi berasaskan kreativiti, inovasi dan nilai ditambah tinggi. Poket rakyat makin kosong dan kuasa membeli merosot.

"Bagaimana kerajaan akan menjana permintaan dan penggunaan domestik untuk memangkin pertumbuhan ekonomi dalaman sekiranya kuasa membeli rakyat merosot sedangkan pelaburan langsung asing terus merundum dengan teruk," tegas Anwar.

Katanya, jumlah kebajikan untuk rakyat terlalu kecil jika dibandingkan dengan subsidi yang diterima oleh syarikat Penjana Tenaga Bebas (IPP) atau syarikat-syarikat pemegang konsesi seperti tol, AP dan sebagainya.

"Dalam laporan kewangan PETRONAS syarikat-syarikat konsesi IPP menikmati subsidi gas sebanyak RM20 bilion pada tahun 2008 dan bertambah kepada RM22 bilion tahun 2009.

"Siapa yang menikmati kebajikan yang sebenarnya? Rakyat atau syarikat pemegang konsesi? Bayangkan jika subsidi ini diagihkan kepada rakyat. Setiap rakyat Malaysia akan mendapat lebih kurang RM815 seorang.

"Bagaimana pula dengan kehilangan berbilion ringgit hasil penyelewengan, rasuah, pembaziran dan sebagainya? Skandal demi skandal terbongkar yang melibatkan puluhan billion ringgit daripada hasil cukai yang di bayar oleh rakyat? PKFZ, Perwaja, scorpene dan sebagainya. Kebajikan rakyat diutamakan?" soalnya.

No comments: