Friday, October 2, 2009

PGSM Desak Kerajaan Ambil Tindakan Terhadap WOA Dan SIS

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) mendesak kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap Sisters in Islam (SIS) dan Pertubuhan Pertolongan Wanita (WOA) kerana mengeluarkan kenyataan yang menghina Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu apabila mempertikaikan pelaksanaan Undang-undang Syariah di negara ini.

Presiden PGSM Mohamad Isa Abdul Ralib berkata Pengarah Eksekutif WAO Ivy Josiah dengan angkuh dan biadap mengeluarkan kenyataan yang meminta supaya undang-undang yang bersangkutan jenayah syariah dikaji semula dalam usaha memansuhkannya.

Beliau berkata Pengarah Eksekutif SIS Dr Hamidah Marican pula mengeluarkan kenyataan yang memperlekehkan hukuman sebat ke atas model Kartika Dewi Sukarno oleh Mahkamah Tinggi Syariah Pahang dan menganggap hukuman itu sebagai kejam dan perlakuan yang menjatuhkan maruah serta mencabuli hak asasi manusia.

"Kedua-dua mereka membuat kenyataan itu dalam sidang akhbar semalam bersama sekumpulan pertubuhan bukan kerajaan yang menggelarkan diri mereka sebagai Kumpulan Tindakan Bersama Untuk Persamaan Jantina," katanya dalam sidang akhbar di sini , Khamis.

Turut hadir dalam sidang akhbar itu ialah wakil daripada Persatuan Alumni Kolej Islam (ALKIS), Jemaah Islah Malaysia (JIM) dan Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM).

Mohamad Isa berkata tindakan pemimpin WOA dan SIS itu secara terang-terangan telah menyentuh dan menjejaskan kedudukan Yang di-Pertuan Agong serta Raja-raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam di Persekutuan dan bagi negeri-negeri disamping bercanggah dengan Perkara 3(2) Perlembagaan Persekutuan mengenai kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi negara ini.

Selain itu katanya, mereka juga tanpa berselindung telah menghina hukum syarak yang sedang berkuatkuasa melalui enakmen di negeri-negeri dan mengguris perasaan dan sensitiviti umat Islam di negara ini.

Mohamad Isa berkata sehubungan itu pihaknya akan membuat laporan polis di balai polis Seksyen 11 Shah Alam 3 petang esok bagi mendesak pihak berkuasa menyiasat dalang disebalik kedua-dua pertubuhan itu sehingga mereka berani menghina Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu serta menghina dan memperlekehkan hukum Islam serta Undang-undang Syariah di negara ini.

No comments: