Thursday, October 29, 2009

Tiada EGM Hanya Seminar

KUALA LUMPUR: PAS mengambil keputusan untuk tidak mengadakan Muktamar Agung Khas (EGM) seperti yang dibangkitkan oleh Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sebaliknya parti itu akan mengadakan seminar politik bagi membincangkan isu-isu yang berkaitan untuk memperkasakan parti.

"EGM tak ada, kita bersetuju EGM tak ada tapi diganti dengan seminar.

"Keputusan ini dicapai sebulat suara setelah mengambil kira pandangan Mursyidul Am sendiri, beliau memberi pandangan agar sebolehnya diadakan sesuatu untuk mengumpulkan akar umbi," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas Jawatankuasa PAS Pusat bersama barisan pesuruhjaya negeri yang berlangsung lebih empat jam.

Menurut Abdul Hadi, seminar yang akan diadakan pada 7 November depan akan dihadiri oleh kira-kira 1,000 perwakilan dari seluruh negara yang akan membincangkan isu-isu semasa dalam PAS.

Dalam perkembangan yang sama, Abdul Hadi berkata, mesyuarat khas ini juga telah mengarahkan jawatankuasa disiplin parti menyiasat mengenai beberapa tuduhan terhadap PAS Selangor.

"Isu yang berkait dengan Selangor, yang juga terdapat beberapa tuduhan dan beberapa pandangan, perkara ini kita serah kepada jawatankuasa disiplin parti yang dipengerusikan oleh Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dengan pasukannya untuk menyiasat sejauh mana kebenaran tuduhan-tuduhan yang dilemparkan itu," katanya.

Ditanya sama ada siasatan itu akan memfokuskan kepada individu tertentu seperti Dr. Hassan, Abdul Hadi menegaskan siasatan akan dijalankan secara keseluruhan.

"Untuk siasat tuduhan yang dikatakan dalam isu Selangor... Selangor sahaja," katanya.

Abdul Hadi juga berharap siasatan berkenaan beberapa isu yang enggan didedahkan itu boleh diselesaikan secepat mungkin.

No comments: