Thursday, December 17, 2009

Selamat Menyambut Maal Hijrah 1431

PADA 1 Muharam setiap tahun, umat Islam merayakan sambutan Maal Hijrah, bergembira atas kehadiran tahun baru dalam kalendar Islam.Sambutan itu tidak disebut dalam al-Quran atau nas Sunah Nabi secara terus terang tetapi ia tetap dianggap perayaan umat Islam.

Ironinya umat Islam masih lebih cenderung meraikan secara berlebihan-lebihan tahun baru Masihi (1 Januari) baru-baru ini termasuk dicemari perbuatan songsang lantas mencemarkan kemuliaan Muharam.

Kemuliaan Muharam yang pada hari itu kita berselawat memuji-muji Rasulullah - satu amalan yang diperintah Allah.Kita alunkan nasyid-nasyid seperti Talaal Badru Alaina bagi mengingati kembali betapa gembira kaum Ansar menyambut kehadiran Rasulullah bersama Muhajirin di Madinah.

Umumnya hijrah bermaksud berpindah dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Penghijrahan komuniti Muslim pada zaman Rasulullah SAW berlaku sebanyak tiga kali. Pertama, hijrah ke Habsyah pada 615 Masihi, kedua juga ke Habsyah pada 617 Masihi dan ketiga ialah hijrah Rasul SAW ke Yathrib pada 622 masihi.

Sejarah Ringkas Tahun Hijrah

Kalendar Islam bagi sandaran umat Islam adalah Takwim Hijrah atau Takwim Islam. Ianya merupakan takwim yang digunakan secara meluas di kebanyakan negara umat Islam untuk menentukan hari kebesaran Islam.

Kalendar ini merupakan kalendar lunar (berasaskan bulan), dan mempunyai kira-kira 355 hari dalam setahun.Permulaan penggunaan Kalendar Tahun Hijrah / Hijriah adalah hasil dari ilham Khalifah Ar-Rasyidin yang kedua iaitu Saidina Umar Al-Khatab r.a. Ini adalah rentetan dari Kesatuan Arab yang ditubuhkan di bawah naungan Islam pada zamannya.Riwayat juga mengatakan bahawa Gabenor Abu Musa Al-Asy’ari telah mengirimkan surat kepada Saidina Umar r.a meminta beliau menjelaskan tentang tahun bagi tarikh surat/arahan Umar yang telah dihantar kepadanya.

Bermula daripada peristiwa itulah Saidina Umar memerintahkan satu kalendar / taqwim Islam yang khas diwujudkan untuk menggantikan tahun rujukan kalendar yang berbagai-bagai yang digunakan oleh bangsa-bangsa Arab dan bangsa-bangsa lain pada zaman itu. Peristiwa ini juga pencetus kepada penyusunan takwim berdasarkan falak syar’ie.

Sebelum kemunculan kalendar Islam ini di kalangan bangsa Arab sendiripun ada berbagai-bagai kalendar yang digunakan seperti Kalendar Tahun Gajah, Kalendar Persia, Kalendar Romawi dan kalendar-kalendar lain yang berasal dari tahun peristiwa-peristiwa besar Jahiliah.

Maka Umar telah memilih tahun yang terdapat di dalamnya peristiwa paling agung dalam sejarah Rasullullah s.a.w untuk dijadikan asas permulaan tahun pertama bagi kiraan kalendar taqwim Islam.

Walaupun tahun yang dipilih adalah tahun hijrah, ianya mencatatkan peristiwa hijrah berlaku pada bulan yang lain selain Muharram namun kalender Islam meletakkan awal bulan kalender hijrah itu sebagai awal Muharram ini kerana kemuliaan yang ada pada bulan ini di sisi orang Arab lebih-lebih lagi di sisi Allah.

Kalendar ini juga mengambil peristiwa hijrah Rasullullah s.a.w dari Makkah ke Madinah. Ini adalah kerana dengan hijrah inilah permulaan pertolongan Allah kepada RasulNya dan agama Islam ditegakkan. Hasil dari itu, Kesatuan Arab lebih sistematik, bersatu dan tersusun serta mendapat berbagai-bagai kejayaan besar dan bertambah kuat hasil dari pilihan Umar itu.

Di antara kejayaan besar Islam waktu itu ialah kerajaan Kisra dapat ditumbangkan, Baitulmuqaddis pula dibebaskan dari Rom dan Masjid Al Aqsa dibangunkan.

Perbandingan kalendar juga telah dibuat oleh Umar,setelah Umar membandingkan kalendar tersebut dengan kalendar-kalendar Persia dan Romawi, didapati bahawa kalendar ini ternyata lebih baik dan bersistematik. Maka dengan itu pengisytiharaan Kalendar Tahun Hijrah adalah Kalendar / Taqwim Islam yang rasmi.

No comments: