Monday, February 28, 2011

Pelancaran Dewan Himpunan Penyokong PAS Hulu Langat (DHPPHL)







Satu peristiwa bersejarah telah tercipta di Pekan Batu 9 Taman Suntex apabila penduduk taman tersebut yang diketuai oleh saudara Chong Choong Yeow telah menubuhkan Dewan Himpunan Penyokong PAS Hulu Langat (DHPPHL). Serentak dengan itu, beliau juga telah membuka pusat khidmat masyarakat.

Perlancaran tersebut telah dibuat dengan resminya oleh Yang Dipertua PAS Kawasan Hulu Langat Tuan Hj Razaly Hassan. Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Saudara Mohd Jan Sulong Penyelaras DUN Dusun Tua.

Sesuatu yang dulunya tidak pernah terfikir dan tergambar dalam minda kita yang masyarakat Cina akan memberi sokongan secara terus terhadap PAS. Dahulu orang Cina kalau tidak sokong DAP mereka akan sokong MCA. Namun dengan perkembangan terbaru ini, perjuangan PAS untuk merapatkan jurang perbezaan antara masyarakat telah berjaya.

PAS telah berjaya menyampaikan risalah dakwah kita terhadap mereka yang bukan Islam. PAS berjaya membuang perasaan takut dan curiga orang bukan Islam terhadap PAS lebih-lebih lagi dengan perjuangan Islam.

Tahniah dan terimakasih diucapkan terhadap kepercayaan dan keyakinan yang diberikan. PAS akan jadikan ruang ini untuk memberi kesedaran tentang perjuangan PAS dan keadilan pemerintahan Islam kepada seluruh penduduk terutama sekali kepada orang bukan Islam.

Apa yang menarik perhatian kami, mereka yang menyerahkan borang permohonan adalah terdiri daripada mereka yang telah berusia. Ini amat berbeza sekali dengan sokongan orang Melayu. Orang Melayu yang berusia masih ramai lagi yang menjadi penyokong tegar UmNo.

Diharapkan angin perubahan ini akan merintis jalan untuk membawa perubahan besar dalam Pilihanraya yang ke 13 yang dijangka tidak lama lagi. Ia juga membuka mata kepada penduduk DUN Dusun Tua dan Parlimen Hulu Langat khasnya.

Memandangkan PAS akan bertanding di kawasan UmNo meletakkan calonnya, maka adalah amat penting untuk memastikan PAS menang di semua kerusi. Itulah maksud sebenarnya PAS ganti UmNo. Sekiranya orang Melayu gagal memberikan sokongan kepada PAS maka ini akan menyebabkan kerusi PAS tidak mencukupi untuk menjadi tonggak pemerintahan.

No comments: