Apa pun keputusan di Sarawak perjuangan akan diteruskan. Sekiranya perjuangan ini berhenti di atas kegagalan nescaya Islam tidak akan berkembang. Nabi juga pernah kecewa, pernah kalah dalam peperangan dan juga berhadapan pelbagai mehnah serta tribulasi. Namun kita hanya akan merasai kemanisan kemenangan dalam perjuangan apabila perjuangan itu berliku. Kemenangan tanpa perjuangan umpama jaguh kampung yang menang kerana orang lain tak nak lawan dengan kita. Menang pun tak seronok.
PAS akan meneruskan usaha. Kami sedar kita berhadapan dengan UmNo yang tidak segan silu memperkuda dan mempergunakan jentera kerajaan serta dana negara untuk keuntungan politik. Setiap kali pilihanraya seluruh jentera kerajaan akan dikerah untuk menabur sebanyak mungkin gula-gula kepada rakyat. Bila sudah menang.... segalanya balik asal.
PRU 13 pasti menjanjikan sesuatu yang lebih getir. UmNo sedar orang cerdik terutamanya yang tinggal di bandar dan orang Cina sudah lama menolak UmNo dan BN. Tetakutan BN terhadap penduduk bandar dan kawasan majoriti Cina menyebabkan UmNo akan berbuat apa sahaja untuk mempertahankan simpanan tetap mereka iaitu kawasan majoriti orang Melayu tradisional. Tidak terkecuali di DUN Dusun Tua. Kawasan batu 14 hingga ke Pangsoon san Sg Lui merupakan kawasan orang Melayu tradisional yang pasti cuba dipertahankan oleh UmNo.
Ketakutan orang Melayu terhadap DAP dan Cina yang ditanam selama ini oleh UmNo akan dipergunakan bagi memastikan orang Melayu terus membenci dan membangkitkan perasangka yang berterusan terhadap orang Cina dan DAP. Parti ultra Melayu ini (UmNo) tidak kisah tentang perpaduan masyarakat..... Asalkan UmNo menang mereka meletakkan selain daripada itu adalah tidak penting.
Mungkin orang UmNo tidak sedar bahawa MCA juga Cina.... Gerakan juga majoriti Cina. Namun UmNo akan terus memberi gambaran DAP sahaja Cina. Sebab itulah apabila DAP memerintah Pulau Pinang kecoh satu Malaysia yang Cina memerintah Pulau Pinang. Apa selama ini Koh Tsu Koon itu Melayu ke?
Orang Melayu yang dididik oleh UmNo selama lebih 54 tahun masih berpegang dengan aqidah yang dibawa oleh UmNo... iaitu hanya UmNo sahaja yang pandai.... Orang lain bodoh belaka. Hari ini kalau kita membaca mana-mana laman web UmNo tiada lain yang mereka jaja melainkan kebencian dan buruk sangka. Sumpah seranah dan maki hamun adalah bahasa mereka. Inilah kejayaan UmNo.
Islam pada UmNo hanyalah solat, zakat, haji, nikah kahwin dan tahlil. Oleh kerana terlalu lama orang Melayu dididik seperti ini, maka majoriti orang Melayu terutama sekali masyarakat konvensional terus menerima dan berpegang dengan aqidah UmNo ini.
Cabaran untuk memperbetulkan pemikiran orang Melayu ini bukan sesuatu yang mudah. Ia akan memakan masa dan pastinya amat lama. Kesungguhan dan proses pendidikan yang berterus perlu dibuat bagi memastikan ilmu Islam itu sampai kepada mereka. Ataupun kita terpaksa menunggu hingga generasi ini pupus.
PAS tidak akan berhenti dan putus asa. Perjuangan adalah kewajiban dan kemenangan adalah bonus. Namun untuk berhenti tidak sama sekali... Melainkan sehingga UmNo meninggalkan perjuangan bangsanya dan meletakkan Islam diatas segalanya. Hingga UmNo meninggalkan perlembagaan yang sedia ada dan meletakkan Al-Quraan, hadith, Ijma dan qias di atas.... PAS akan terus menentang UmNo. Bila ini berlaku maka tugas PAS adalah meneruskan dakwah.
Selamat meneruskan perjuangan kepada semua sahabat.
No comments:
Post a Comment