Tuesday, December 29, 2009

Hasan dan Khalid belum diputuskan bersalah - Tuan Ibrahim

KUALA LUMPUR, 28 Dis: Keputusan Jawatankuasa disiplin PAS untuk memanggil Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Hasan Ali dan Pesuruhjaya PAS Shah Alam, Khalid Samad merupakan proses biasa untuk mendengar penjelasan daripada kedua-dua pihak, kata Pengerusinya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Tuan Ibrahim yang juga Naib Presiden PAS berkata, pihak jawatankuasa telah meneliti dokumen mengenai kedua-dua individu terbabit yang diserahkan kepada jawatankuasa berkenaan.

"Setelah bermesyuarat pada Sabtu lalu, pihak jawatankuasa mendapati ada satu keperluan untuk memanggil kedua-dua pihak bagi mendengar keterangan mereka. Ini adalah proses biasa dalam parti," katanya ketika dihubungi Harkahdaily petang tadi.

Beliau meminta pihak media tidak membuat laporan yang menggambarkan seolah-olah Hasan dan Khalid sudah dibuktikan bersalah kerana pihak jawatankuasa belum membuat apa-apa keputusan berhubung perkara itu.

"Buat masa sekarang, pihak jawatankuasa tidak boleh cakap mereka bersalah atau tidak sebab belum mendengar keterangan daripada mereka. Sebab itu lah jawatankuasa akan memanggil mereka untuk mendapatkan penjelasan lanjut daripada kedua-duanya," kata beliau kepada Harakahdaily.

No comments: