Monday, February 4, 2008

Mari Nilai Semula Manifesto BN PRU11

Antara azam, tekad, ikrar dan janji BN yang termaktub dalam Manifesto PRU11 adalah seperti berikut:

Mempertahankan kemerdekaan serta kedaulatan negara: Dalam konteks ini, rakyat wajar mengambil kesimpulan sama ada kewujudan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) selaras dengan ikrar mempertahankan kemerdekaan serta kedaulatan negara. Kalau usaha ini memang secocok dengan cita-cita tersebut, mengapakah wujud persepsi di kalangan rakyat jelata bahawa WPI adalah menjejaskan kedaulatan negara? Kalau terus BN menang adakah WPI akan diserahkan kepada Singapura?

Meningkatkan martabat bangsa dan negara, agar sentiasa dihormati dan dicontohi, di pentas dunia; dan memastikan Malaysia tetap berpengaruh di peringkat antarabangsa, khususnya selaku pengerusi OIC dan NAM: Bagaimanakah hakikatnya pada hari ini? Benarkah sebagai yang didakwa oleh banyak pihak bahawa imej Malaysia di arena internasional kini kian merosot? Berapa ramai wartawan antarabangsa yang berminat untuk interview beliau pada setiap kali beliau hadir di forum antarabangsa?

Komited kepada demokrasi berparlimen, memberikan setiap warganegara suara dalam pentadbiran negara: Di manakah suara rakyat jelata dalam konteks beberapa isu kontroversi seperti pilihanraya yang bersih, penyambungan khidmat pengerusi SPR, skandal ECM Libra, kebebasan media dan lain-lainnya?

Memenuhi tuntutan rakyat dengan memerangi rasuah. Meneruskan usaha-usaha untuk membudayakan semangat menolak rasuah: Pada 19 November 2006, Bernama pula melaporkan bahawa Corruption Perception Index (CPI), Malaysia, yang disediakan oleh Transparency International kian merosot daripada tangga 39 kepada tangga 44. Secara umumnya, mengapakah kini wujud persepsi bahawa kadar rasuah kian berleluasa? Bagaimana dengan kes Eric Chia dan Kasitah Gadam dan 18 kes berprofil tinggi?

Membangunkan negara secara menyeluruh dan seimbang berlandaskan pentadbiran, pengurusan, perkhidmatan malah pemikiran ‘kelas pertama’: Apakah di antara contoh “pemikiran kelas pertama” yang dicetuskan oleh era Abdullah? Glocal vs 'Goblok'

Prihatin terhadap keperluan rakyat dan akan merujuk kepada pandangan rakyat dalam isu-isu penting, serta mendapatkan pandangan rakyat secara aktif bagi isu-isu penting: Adakah tekad dan azam seperti ini wujud dalam usaha kerajaan menangani kenaikan harga barang-barang makanan termasuk minyak masak, kenaikan harga petroleum, kenaikan kadar tol, kewujudan WPI, tuntutan mewujudkan sistem pilihan raya yang telus dan sebagainya?

Membanteras jenayah dan gejala sosial: Bunuh, rompak, samun, ragut yang terus menghiasi dada akhbar dan TV. Program-program hiburan realiti yang dilambakkan? Konsert yang silih berganti. Sure Heboh atau Jom Heboh yang diharamkan oleh Mufti Perak tetapi masih diteruskan. Pergaulan bebas dan seks bebas yang tak larat nak tengok. Buang anak.

Meningkatkan tahap keselamatan peribadi setiap individu: Kemalangan jalanraya? Mengapakah terjadi kes penculikan kanak-kanak yang kian meningkat? Mengapakah kadar jenayah dikatakan bertambah serius? Di mana adik Sharlinie?

Manifesto BN PRU 11 penuh sila rujuk:
http://202.56.84.170/webserver/umnoonline/manifesto/BM%20version%20-%20full.pdf

No comments: