Monday, April 7, 2008

'New Branding' - Penjenamaan Baru


Setelah seminggu penulis tersadai di HUKM, telah cukup untuk menyiksakan minda dan fizikal. Walaupun tangan kiri patah dan menghadkan pergerakkan ia tidak mematahkan semangat untuk menulis. Dengan adanya laptop dan rangkaian 3G Celcom dapat juga penulis melayari dan 'update' blog ini. Ruang yang ada banyak digunakan dengan melayari internet dan menonton TV. Esok petang insyallah pembedahan kedua akan dijalankan untuk memasang besi di tulang radius. Doakan semoga selamat. Juga ucapan terimakasih kepada yang datang ziarah.... jiran-jiran, sahabat dan kepimpinan.

Rasanya telah tiba masa kita perlu bergerak di atas kapasiti kerajaan negeri dan imej pemerintah. Bukan menyalahgunakan jentera kerajaan tetapi mengingatkan rakyat bahawa PAS kini memerintah dan bukan lagi parti pembangkang. Jangan kita hendaknya kalah dengan propaganda media perdana. Atas dasar itu penulis telah menukar imej blog ini supaya lebih mengambarkan kita mewakili kerajaan bukan hanya PAS.

Belum terlambat untuk mengucapkan syabas di atas initiatif kepimpinan bagi membentuk satu gagasan yang formal bagi memperkukuhkan kerjasama PAS, PKR dan DAP dibawah Pakatan Rakyat. Pun begitu ianya bukan semudah yang disangkakan. Isu-isu lama antara PAS dan DAP mungkin akan menjejaskan pembentukkan pakatan baru ini. Diharapkan ianya dapat diatasi dengan cermat dan berhemah. Anggaplah ini sebagai peluang atau perjanjian Hudaibiyah yang membuka jalan pengembangan Islam dan pembukaan Mekah. Hasrat PAS yang diwar-warkan oleh media untuk menjadi peneraju pakatan tersebut telah menjadi pertikaian DAP kerana hasrat PAS untuk meneruskan agenda negara Islam. Kita perlu berhati-hati dan belajar dari kesilapan lalu serta sejarah bagi menjayakan hasrat murni ini.

Dalam kita melihat BN hampir karam jangan sampai kita pula kehilangan bahtera. Bukan tak percaya tetapi sekiranya kita gagal membentuk Pakatan Rakyat mungkin hasrat kita untuk meneruskan pemerintahan dan berkuasa selepas PRU13 mungkin turut berkubur. Ianya seterusnya akan dijadikan modal oleh parti lawan untuk menghentam PAS dan Pakatan Rakyat. Ini bukan masanya untuk menunjuk kekuatan tetapi kebijaksanaan berpolitik dituntut untuk memudahkan perjuangan. Kesempatan yang diberi disebabkan kesebokkan BN memperbaiki rumah mereka perlu kita ambil untuk memperkukuhkan Pakatan Rakyat. Jangan kita pula leka dengan wayang mereka. Biarlah mereka bergaduh; perjuangan perlu diteruskan.

Kita juga perlu terus mengerakkan jentera bagi meningkatkan kesedaran rakyat dan menambah ahli. Kemenangan yang diperolehi perlu dimanfaatkan untuk mengajak rakyat supaya bersama-sama PAS dalam membina masyarakat dan kehidupan yang lebih baik. Jentera parti juga perlu diperkukuhkan bagi mendekati dan menyelesaikan masalah rakyat. Tunaikan janji pilihanraya. Semoga berjaya.

1 comment:

Saupi Azran bin Muhamad Tamjis said...

Cayalah Bang.. cun!
semoga operation desert storm Abg tu berjaya..

kami semua doakan Abg selamat dan cepat sembuh..

Ada apa2 lagi yg mengidam ke..
Sup tulang???? bukan tulang radius le..