Monday, January 17, 2011

Calon Tenang : Normala Sudirman Ketua Muslihat PAS Labis


PAS meletakkan calon wanita - Normala Sudirman - untuk bertanding mewakili parti itu dalam pilihan raya kecil DUN Tenang pada 30 Januari ini. Pengumuman itu dibuat oleh presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu majlis ceramah Pakatan Rakyat di Labis malam ini.

Hadir memberi sokongan ialah presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, penasihat DAP Lim Kit Siang, setiausaha agung PAS, Datuk Mustafa Ali serta beberapa pemimpin Pakatan yang lain.

Normala merupakan ketua Muslihat PAS Labis, dan tidak pernah bertanding dalam pilihan raya sebelum ini. Ibu kepada tiga orang anak itu adalah dari Ledang, Johor dan berkahwin dengan seorang guru di Tenang.

Beliau adalah guru lulusan Kolej Perguruan Tuanku Bainun, Pulau Pinang dan bertugas di Sekolah Kebangsaan LKTP Kemelah, Segamat, selepas meletak jawatan baru-baru ini. Beliau berbuat demikian kerana undang-undang pilihan raya melarang kakitangan kerajaan bertanding dalam pilihan raya.

Majlis pengumuman tersebut berlangsung di rumah kedai dua tingkat yang menjadi pusat operasi PAS. Kira-kira 1,000 orang awam dan penyokong Pakatan, sebahagian besarnya dari PAS yang memakai kopiah putih, berkumpul di tepi jalan di depan rumah kedai tersebut

Pada mulanya, majlis tersebut dijadual diadakan di kawasan kosong berhadapan pusat operasi tersebut tetapi kemudian terpaksa dipindahkan ke pusat berkenaan.

Ia berlaku apabila pemilik tanah kosong itu didakwa diugut dan majlis tempatan pula enggan mengeluarkan permit, kata ketua penerangan PAS Johor, Mazlan Aliman kepada Malaysiakini.

Mazlan juga mengesahkan laporan bahawa suami Normala - Makrof Abd Mutalib - telah menerima arahan untuk ditukar ke Johor Bahru. "Pada awalnya, notis itu dihantar kepada beliau, tetapi ia kemudiannya ditarik balik," kata Mazlan sambil menambah notis pertukaran itu dihantar oleh jabatan pendidikan. Makrof juga telah mengesahkan notis pertukaran tersebut.

Ditanya apakah alasan pertukaran tersebut, Mazlan menjawab "sebab politik".

Pemilihan Normala juga akan membantu mengikis persepsi di kalangan bukan Islam yang melihat PAS sebagai sebuah parti Islam konservatif yang mendiskriminasikan kaum wanita.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 22 Januari sebagai tarikh penamaan calon.

No comments: