Tuesday, May 8, 2012

Fitnah: Rahim diberi 24 jam tarik balik kenyataan


KUALA LUMPUR, 8 Mei: Belum reda dengan fatwa majlis fatwa kebangsaan bahawa himpunan Bersih 3.0 haram, kini timbul pula fatwa baru oleh bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Rahim Noor yang menyifatkan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai bapa kafir.

Bagi Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), tuduhan tersebut amat keterlaluan dan bersifat kurang ajar.

"Menuduh seseorang itu kafir adalah tuduhan yang berat, terlebih lagi jika yang dituduh itu adalah alim ulama.

"Kita mendesak bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor menarik balik kenyataannya," kata naib ketuanya Dr Raja Ahmad Al Hiss.

Kenyataan Rahim itu telah disiarkan di New Straits Times (NST) pada hari ini.

"Soalnya, siapakah Tan Sri Rahim untuk menghukumkan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz sebagai sesat dan kafir?

"Apakah latar belakang beliau jika hendak dibandingkan dengan ulama ini dan sejauh mana kefahaman Islam beliau sehingga boleh mengeluarkan pandangan seseorang itu sesat atau betul," soal Raja lagi.

Baginya, kenyataan Rahim itu juga dengan jelas menghina institusi ulama.

Apatah lagi katanya, ramai para guru agama dan ulama turut hadir dalam perhimpunan Bersih 3.0 tempoh hari termasuk Tuan Guru Haji Salleh Musa Sik antara ulama yang turut serta bersama rakyat dalam himpunan Bersih 3.0.

"Tan Sri Rahim Noor lebih faham Islam daripada ulama-ulama’yang hadir dalam Bersih 3.0," tegasnya mempersoalkan.

Sehubungan itu beliau meminta Rahim supaya bertaubat dan beristighfar dengan segera kerana menuduh seorang ulama yang berjuang demi menegakkan Islam serta mempertahankan kebenaran dengan tuduhan kafir dan sesat adalah suatu dosa yang besar di sisi Islam.

"Mungkin inilah nasib para ulama yang memperjuangkan kebenaran, dicaci dan dihina oleh mereka yang menolak Islam.

"DPPM bimbang, kenyataan beliau (Rahim) akan memakan tuan dan mengena balik kepada dirinya," katanya.

No comments: