Friday, June 17, 2011

Astro Cekik Darah

Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (Cassa) menyokong kempen yang dijalankan oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia untuk meraih sokongan rakyat bagi memboikot penyedia perkhidmatan televisyen berbayar Astro sebagai membantah kenaikan bayarannya.

Presiden Cassa Dr Jacob George berkata, kempen itu perlu diteruskan memandangkan rakyat pada masa ini telahpun terbeban dengan keadaan ekonomi semasa.

“Apa teladan yang (Astro) tunjuk pada masyarakat? Masyarakat pun (sudah) tertekan dalam keadaan ekonomi sekarang (tapi Astro) faham tentang diri sendiri saja,” katanya lagi.

George mendakwa, Astro juga telah menolak jemputan persatuan berkenaan untuk mengadakan perbincangan dua hala berhubung kenaikan harga itu.

“Apa justifikasi yang (Astro) bagi? (Cassa) minta perbincangan dua hala, (Astro) tidak mahu dengan kita," katanya yang menambah, konglomerat media itu perlu menjelaskan sebab kenaikan harga berkenaan kepada pengguna.

George berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim hari ini yang menyifatkan notis kenaikan bayaran perkhidmatan Astro sebagai tidak sah.

Astro sepatutnya mendapat kebenaran dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terlebih dahulu, kata Rais yang menegaskan bahawa bayaran perkhidmatan asas yang dikenakan oleh Astro pada masa ini tidak akan berubah.

Bercakap ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, George membidas syarikat berkenaan yang didakwanya ingin menambah keuntungan melalui peningkatan harga pakej tetapi tidak menyediakan program terkini.

Beliau turut mendakwa, Astro sering menyiarkan program yang berulang-ulang dan tidak mengambil tindakan sepatutnya walaupun pengguna telah membuat aduan.

“(Kalau) hujan tidak ada liputan Astro, adakah dia bayar (gantirugi)? (Astro) beri teknologi yang tidak dikemaskini. Apa yang semasa? Hanya (maklumat) untuk perkhidmatan yang kita bayar," katanya lagi.

PPIM: Dedahkan perjanjian dengan Astro

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) pula menyeru kerajaan supaya mendedahkan sama ada tindakan Astro untuk menaikkan harga bagi pakej televisyen berbayar adalah mengikut perjanjian yang ditetapkan.

Penasihat PPIM, Tunku Azwil Tunku Abdul Razak berkata, pengguna perlu diberitahu apakah perkara yang dipersetujui dengan Astro bagi membolehkan pemegang lesen tunggal bagi penyiaran televisyen berbayar itu menaikkan harga perkhidmatannya.

"Sedangkan kadar tol juga perlu dipersetujui oleh kerajaan dalam perjanjian... Kalau kerajaan tidak ambil tindakan serius, kami akan boikot Astro," katanya lagi dalam satu sidang media hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan berhubung tindakan Astro untuk menaikkan harga bagi pakej perkhidmatannya sehingga RM15 sebulan yang didakwa tidak mesra pengguna.

Sebaliknya, Astro boleh mencontohi langkah kerajaan yang tidak menaikkan harga bahan api demi kepentingan rakyat, kata Tunku Azwil.

Tangguhkan kenaikan

"Jika kerajaan boleh tangguh kenaikan harga, kenapa Astro tidak tunjuk rasa terima kasih kerana dapat monopoli, tangguh kenaikan harga yang ingin dibuat.

"Pulangan daripada yuran langganan saja sudah cukup untuk menampung kos operasi. Apa yang mereka mahu adalah untuk tambah keuntungan, bukan untuk tampung kos operasi," katanya lagi.

Beliau mendakwa, perbelanjaan modal yang dilaburkan oleh Astro sejak mula bersiaran telah habis dibayar malah iklan yang diterima penyiar itu juga telah bertambah.

Jelasnya, perbelanjaan periklanan di Malaysia mengikut AC Nielsen pada tahun 2010 berjumlah lebih RM9 bilion dan stesen televisyen lain hanya mendapat RM2 bilion dari kadar tersebut.

“Stesen televisyen (lain) mengambil lebih kurang 2 bilion yang terpaksa sama-sama dikongsi antara lebih kurang tujuh stesen televisyen,” tambahnya.

Katanya lagi, sebanyak 20 peratus daripada saham Astro pula terdiri daripada saham perseorangan yang juga telah cukup untuk memberi keuntungan.

“Mereka mampu berbuat demikian kerana mereka banyak (saluran),” kata Tunku Azwil.

Kadar periklanan Astro yang rendah, malah serendah kadar untuk iklan radio juga dilihat sebagai satu ancaman kepada stesen televisyen lain, katanya lagi.

Bunuh kadar iklan televisyen

“Kadar periklanan Astro pada hari ini telah membunuh kadar (iklan) televisyen yang juga mengharapkan pulangan semata-mata dari periklanan.

"(Astro) dengan sendirinya, dengan perlahan-lahan akan membunuh stesen yang lain,” katanya.

Ketika ditanya, Tunku Azwil mengakui bahawa perkhidmatan yang disediakan itu bukanlah keperluan utama bagi pengguna seperti bekalan air dan elektrik.

"(Kalau) tak ada Astro, (pengguna) tak mati pun. Bukanlah pengguna tak ada hiburan.

"Tapi (kita bantah) kerana pengguna tak mahu dipergunakan untuk belanja berlebihan untuk dapatkan sedikit hiburan," katanya lagi.

Sehubungan itu, PPIM turut melancarkan satu kempen bagi membantah kenaikan bayaran Astro. Kempen tersebut bermula hari ini di laman web persatuan itu.

“Kami akan ambil tindakan boikot Astro. Kami akan guna kempen 'No to Astro,” kata seorang lagi wakil PPIM, Mustafa Hamzah.

Tambahnya, persatuan itu juga mendakwa telah menerima "ribuan" aduan dari pengguna yang tidak berpuas hati dengan sistem perkhidmatan Astro.

2 comments:

Unknown said...

nice article come to my blog

cellenwong.blogspot.com

Unknown said...

Saya kongsikan alternatif terbaik untuk berjimat tapi dapat tgk semua channel yg ada ditawarkan oleh stesen TV satelit di Malaysia..cuma RM30 sebulan!

http://channelmurah.blogspot.com/