Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPMM) beri amaran kepada Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali dan ahli-ahli pertubuhan itu agar menghentikan tindakan samseng mereka dan ugutan kepada rakyat Malaysia khususnya kalangan bukan Melayu yang mahu menyertai Himpunan Bersih 2.0. Pemuda PAS bersedia menjadi perisai kepada rakyat pelbagai kaum yang hadir dalam perhimpunan Bersih 2.0 sekaligus menolak sebarang tindakan provokatif yang cuba diadakan oleh Perkasa untuk menimbulkan suasana tegang dan huru-hara.
DPPM kesal dengan risalah perkauman yang diedarkan Perkasa yang menyebut "Awas!!! Ambiga Wanita Hindu yang Merbahaya". Ini sudah melampau dan jelas satu penghinaan kepada Pengerusi Bersih, Datuk Ambiga Sreenevasan dan kaum lain. DPPM juga kesal kerana Ibrahim dalam ucapannya di Kelab Sultan Sulaiman turut memberikan amaran kepada Kaum Tiong Hua supaya membeli makanan tambahan untuk disimpan dirumah jika Himpunan Bersih 2.0 tidak dihentikan kerana Perkasa akan lakukan apa sahaja bagi menghentikannya. Mereka mahu lakukan apa? pukul orang India, pecah rumah dan kedai orang cina? bakar rumah ibadat? atau pijak kepala babi dan lembu di dataran Merdeka?
Siapa Perkasa yang mahu melawan kebangkitan rakyat. Apa tujuan mereka membuat ugutan kepada kaum bukan Melayu. Negara ini milik semua dan rakyat berhak turun ke jalan raya untuk menyatakan tuntutan mereka secara aman.
DPPM yakin bahawa Perkasa bekerja untuk Umno yang kini terdesak untuk menahan asakan Bersih 2.0. Mereka memperkudakan Ibrahim dan ahli mereka dalam Perkasa untuk mewujudkan suasana huru hara. Perkasa cuba mengumpan supaya pihak Polis membuat tangkap awal termasuk mengunakan akta ISA. Malah mereka cuba mencabar Polis untuk menangkap pemimpin mereka sendiri sebagai korban untuk menunjukan keadilan Polis dalam bertindak, walhal yang mahu membuat huru hara adalah pelampau Perkasa sendiri.
DPPM melihat Perkasa cuba untuk mewujudkan 13 Mei kedua, mereka mahu Operasi Lalang berulang. Ugutan-ugutan ekstrim mereka menunjukan bahawa mereka memang kumpulan pelampau yang wajar diambil tindakan oleh pihak Polis. Kenapa pihak Polis berdiam bila Perkasa membuat ugutan? Diharapkan Polis tidak menutup mata dan telinga hanya kerana Perkasa melaungkan slogan yang kononnya mahu membantu Menteri Dalam Negeri didalam menghadapi Bersih 2.0.
DPPM memberikan jaminan kepada orang-orang Melayu dan bukan Melayu bahawa Himpunan Bersih 2.0 akan berjalan dengan aman dan selamat. Semua peserta dilarang membawa sebarang senjata atau melakukan kerosakan dan provokasi. Peserta Bersih 2.0 yang akan hadir diminta menghormati peniaga dan penduduk Kuala Lumpur serta menjaga kebersihan sepanjang himpunan berlangsung.
Ayuh! semua rakyat, semua anak muda. Jangan hirau, jangan takut pada pelampau Perkasa. Tunjukan kuasa rakyat, bersama kita perkukuhkan desakan rakyat untuk memastikan Pilihanraya Bersih dan Adil dilaksanakan di negara ini.
Riduan Mohd Nor
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia
No comments:
Post a Comment