Friday, June 10, 2011

TG Nik Aziz : Tun M hantar surat amaran kepada Kelantan

Mursyidul Am Parti Islam Semalaysia (PAS), Datuk TG Nik Abdul Aziz Nik Mat, menegaskan individu pertama yang menghalang kerajaan negeri Kelantan daripada melaksanakan hukum hudud adalah Tun Dr Mahathir Mohamad, bukan Karpal Singh seperti yang didakwa oleh mantan perdana menteri Malaysia itu.

Datuk TG Nik Abdul Aziz berkata, Dr Mahathir mungkin sudah lupa bahawa beliau yang telah menghantar surat amaran kepada kerajaan negeri Kelantan di bawah pentadbiran PAS daripada melaksanakan hukum hudud, lapor laman berita The Malaysian Insider.

Enakmen Undang-undang Kanun Jenayah Syariah (ii) 1993 (Hukum Hudud) telah pun diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 1993.

Ini berikutan dengan janji PAS akan melaksanakan Hukum Hudud pada pilihan raya umum 1990.

Bagaimanapun, hasrat melaksanakan hukum hudud itu tidak dapat dilaksanakan kerana Dr Mahathir telah menyekat pelaksanaannya melalui satu surat amaran yang dihantar kepada Datuk TG Nik Abdul Aziz, yang juga Menteri Besar Kelantan.

'Seingat saya orang yang menghantar surat kepada kerajaan negeri Kelantan agar tidak melaksanakan hudud satu ketika dahulu namanya ialah Mahathir Mohamad bukannya Karpal Singh.

'Barangkali orang yang bernama Mahathir Mohamad ini sudah lupa, sebagai mengingatkannya saya boleh tunjukkan surat itu, ia masih ada dalam simpanan saya,' kata Datuk TG Nik Abdul Aziz dalam laman Facebook beliau.

No comments: