Saturday, June 4, 2011

Mari membangun negara berkebajikan - Abdul Hadi

KUALA LUMPUR, 3 Jun: PAS mengajak semua rakyat negara ini untuk menjaga kepentingan mereka dengan menyokong perjuangan PAS dan Pakatan Rakyat bagi Membangun Negara Berkebajikan di negara ini.

Perkara ini dizahirkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasar Muktamar PAS ke 57 di Dewan Datuk Fadzil Noor, Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhamad (KUIZM) hari ini.

Ia berlangsung di dewan yang penuh sesak dengan perwakilan, pemerhati dan para tetamu yang datang untuk melihat muktamar yang dijangka mempersiapkan parti itu menghadapi pilihan raya umum ke 13.

Turut bersama mereka adalah para pemimpin dari parti rakan Pakatan Rakyat termasuk Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail and Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

"Muktamar ini berlangsung di ambang pilihanraya umum ketiga belas yang akan diadakan pada bila-bila masa. Medan pilihanraya itu nanti akan menjadi medan juang yang sangat sengit kepada kita," kata Abdul hadi dalam ucapannya.

Maka di atas komitmen ini, kata beliau, tibalah masanya pula PAS memperkukuhkan konsep dan objektif kebajikan secara menyeluruh dalam urustadbir yang PAS bawa sebagai asas komitmennya, untuk mentadbir negara masyarakat majmuk ini secara bersama dengan rakan-rakan Pakatan Rakyat.

"Mauduk yang begitu besar ini, menuntut kita untuk membawa tema MEMBANGUN NEGARA BERKEBAJIKAN, sebagai tema muktamar pada tahun ini," katanya.

Ini bertepatan dengan perjuangan PAS yang berkonsepkan amal kebajikan, di mana seluruh kegiatan kita selama ini adalah kebajikan, apabila Allah SWT memberi kemenangan dengan pertolongannya maka wajib diisi dengan kebajikan, tambahnya.

"Tema ini berpaksikan kepada pegangan kita, bahawa Islam yang difahami oleh kita adalah sempurna yang merangkumi seluruh cara hidup manusia, roh dan jasad, individu, keluarga dan masyarakat, hubungan dengan Allah, diri manusia dan makhluk yang lain. Islam yang terkandung di dalamnya seluruh cara hidup manusia dalam aspek politik, ekonomi, pendidikan, kemasyarakatan dan sebagainya," kata Abdul Hadi.

Abdul Hadi yakin, walaupun mungkin adanya perbezaan dasar dan konsep dengan rakan-rakan yang lain, tetapi banyak titik persamaan dalam pelaksanaan dan objektifnya dalam aspek pentadbiran dan penglibatannya ke dalam masyarakat majmuk.

"Walau pun berbeza dalam perkara halal dan haram, tetapi kita tentunya bersama dalam menegakkan adil untuk semua dan menentang kemungkaran, kezaliman dan penyelewengan seperti rasuah dan sebagainya. Inilah kerjasama yang menuntut kita untuk bersama dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat bagi membawa agenda perubahan ini," tegasnya.

Ucapan dasar ini, kata beliau, adalah menggariskan dasar umum serta falsafahnya yang berpihak dan menepati Islam.

Maka pemahaman konsep kebajikan dan objektifnya adalah sangat penting kepada PAS supaya apa yang dirancangkan sebagai agenda parti sepanjang sesi ini dapat dilaksanakan, yang akan terus menerus diperincikan oleh seluruh jentera parti di berbagai peringkat dari masa ke semasa.

"Dalam kita mengungkap konsep kebajikan menyeluruh ini, maka kepimpinan yang menerajui negara berkebajikan adalah di kalangan yang berilmu dan bertakwa. Maka Islam menegaskan bahawa berpolitik adalah tugas para nabi dan pengikutnya yang setia," kata Abdul Hadi.

No comments: