Saturday, June 4, 2011

MB: Selangor akan rampas tanah di PJS1

Kerajaan negeri Selangor telah mengeluarkan arahan untuk merampas tanah seluas 11 ekar di PJS1 bagi memastikan rumah mampu milik dan sekolah dapat dibina di tanah berkenaan.

Menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, setiausaha kerajaan negeri telah diminta untuk memaklumkan kepada Pejabat Tanah dan Daerah Petaling bagi mengeluarkan notis 7A mengikut Seksyen 128 Kanun Tanah Negara kepada pemilik-pemilik tanah itu: Lee Man Construction Company Sdn Bhd dan Kembar Empat Sdn Bhd.

“Kerajaan Negeri kesal kerana pemilik tanah telah gagal menyokong kerajaan negeri dalam mencari penyelesaian menyeluruh untuk menyediakan rumah mampu milik walaupun mereka telah mendapat ganjaran yang tinggi melalui pemilikan tanah.

“Mengikut rekod, tanah itu telah diberi kerajaan negeri pada tahun 80-an kepada dua syarikat berkenaan dengan harga RM100 seekar untuk tujuan pembangunan bagi menyelesaikan masalah setinggan di kawasan tersebut,” kata Khalid dalam satu kenyataan akhbar lewat petang semalam.

Menurut beliau, kerajaan Selangor akan juga berbincang dengan Bank Negara bagi mendapatkan penjelasan berhubung pemilihan pemaju-pemaju yang gagal membina rumah mampu milik kepada rakyat setelah diberikan tanah.

Tanah di PJS1 itu telah diberikan kepada Syarikat Peter Brickworks Sdn Bhd telah dipilih oleh Bank Negara Malaysia untuk dimajukan.

“Kita risau pemaju sebegini yang kurang bekerjasama untuk kepentingan rakyat. Sebab itu kita mahu berbincang dengan Bank Negara tentang kualiti pemilihan pemaju,” kata Khalid.

No comments: