Friday, August 12, 2011

JAIS: Tiada kekasaran dalam pemeriksaan gereja

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akhirnya mengeluarkan kenyataan dengan menegaskan bahawa tiada serbuan dibuat terhadap Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) Petaling Jaya.

Sebaliknya, menurut Pengarah JAIS Marzuki Hussin, kehadiran pegawai penguatkuasanya dan anggota polis hanya membuat pemeriksaan untuk mengesahkan aduan yang diterima.

Sehubungan itu, Marzuki berkata, JAIS amat kecewa apabila banyak pihak menuduh pemeriksaan itu dlakukan secara tidak beretika oleh anggota penguatkuasanya.

Dalam kenyataannya petang ini, Marzuki menjelaskan, pemeriksaan itu dilakukan bawah Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 berdasarkan maklumat bahawa majlis ibadat berbuka puasa diadakan bersama makan thanksgiving (kesyukuran) di gereja.

“Pada hari itu pemeriksaan dilakukan berdasarkan maklumat bahawa majlis ibadat berbuka puasa akan diadakan bersama majlis makan malam muhibah di sebuah gereja,” katanya menambah, pemeriksaan telah dilakukan kira-kira pukul 9.45 malam.

Beliau juga menegaskan pihaknya telah membuat rundingan dengan penganjur, di luar dewan dan telah meminta izin untuk melakukan pemeriksaan.

“Jais menegaskan bahawa rundingan yang diadakan dengan penganjur di luar dewan majlis berkenaan membuktikan tuduhan kononnya Jais membuat serbuan, kekasaran serta pecah masuk adalah tohmahan-tohmahan liar semata-mata.

“Bahkan Jais telah meminta izin masuk dan hanya dibenarkan masuk ke dewan berkenaan untuk menjalankan pemeriksaan setelah majlis selesai pada pukul 11 malam,” katanya.

Tegas Marzuki, tiada sebarang bentuk kekasaran dilakukan oleh pihaknya sepanjang melakukan pemeriksaan dijalankan.
"Selepas majlis tersebut yang dihadiri kira-kira 100 orang tamat, barulah pemeriksaan dijalankan di dalam dewan majlis," katanya lagi.


Sementara itu, Marzuki mendakwa pihaknya dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) diarah keluar oleh penganjur dalam masa lebih kurang 10 minit sahaja.


"Walaupun tindakan itu seolah-olah mempertikaikan kuasa JAIS dan PDRM dalam menguatkuasakan undang-undang ke atas orang Islam, JAIS dan polis tidak menggunakan kuasa menahan penganjur atau membuat tangkapan," katanya.

Marzuki mengesahkan seramai 12 orang Islam hadir dalam majlis itu dan hanya diambil butiran dan diminta hadir ke sesi bimbingan dan kaunseling.

No comments: