Monday, August 29, 2011

Raja-Raja Melayu, Bukit Kepong, Polis dan Komunis

Akibat serangan Utusan terhadap Mat Sabu, telah mencetuskan ingin tahu saya untuk membaca sedikit sejarah Tanah Melayu. Dengan maklumat yang mudah didapati di internet bolehlah kita ringkaskan perkara-perkara yang disentuh oleh Utusan seperti berikut:

Pristiwa Bukit Kepong
Pristiwa Bukit Kepong adalah pertempuran bersenjata yang bersejarah yang berlaku pada 23 Februari 1950 antara pihak polis dan Parti Komunis Malaya. Pertempuran ini berlaku di kawasan sekeliling balai polis Bukit Kepong di Bukit Kepong yang terletak ditebing sungai Muar, sekitar 59 km dari bandar Muar, Johor.

Polis Tanah Melayu

Organisasi Polis Moden di Tanah Melayu bermula pada 25 Mac 1807 hasil termaktubnya Piagam Keadilan (Charter of Justice) oleh penjajah Inggeris di Pulau Pinang. Sistem ini mencontohi sistem tersusun dan teratur polis British, yang dicipta oleh Sir Robert Peel pada tahun 1829.

Kebanyakan pegawai polis ketika itu adalah berbangsa British. Selepas itu organisasi ini berkembang kepada Negeri-Negeri Selat dan negeri-negeri lain di Tanah Melayu. Pada ketika itu, organisasi polis adalah terhad kepada negeri masing-masing. Hanya selepas Perang Dunia II, satu organisasi polis tunggal dengan pentadbiran pusat yang pertama telah ditubuhkan dan dikenali sebagai "Civil Affair Police Force" (CAPF). Organisasi ini telah dibentuk di Tanah Melayu bagi menjalankan tugas-tugas kepolisan dengan diketuai H.B. Longworthy. Penjajah British terpaksa memantapkan organisasi polis selepas negara melalui anarki semasa zaman pemerintahan Jepun. Antara masalah yang berleluasa ketika itu ialah pemberontakan pihak komunis.

Konsep "Bersedia Berkhidmat" diperkenalkan oleh Pesuruhjaya Polis Tanah Melayu Sir Arthur E. Young pada 15 Disember 1952. Melalui arahannya, Arahan Pesuruhjaya Polis No. 36, tahun 1952: "Operation Service", A. E. Young menegaskan pendekatan polis terhadap orang ramai serta mewujudkan persefahaman terhadap kedua-dua pihak. Beliau juga berharap dengan konsep "Bersedia Berkhidmat" ini, pandangan negatif pasukan dapat dikikis dan sebaliknya dihormati.

Komunis

Malayan Peoples' Anti-Japanese Army (MPAJA) yang juga dikenali sebagai Parti Komunis Malaya (PKM) ditubuhkan pada 20 April 1930. Yang pada awalnya bekerjasama dengan pihak British untuk menentang pendudukan Jepun berdasarkan perjanjian yang dibuat pada 8 Disember 1940, mengambil peluang untuk membalas dendam terhadap sesiapa yang dianggap bersubahat dengan Jepun.

Menerusi MPAJA, bantuan senjata, latihan, kewangan, bekalan lojistik dan perubatan telah diperolehi dari British. Dalam tempoh 3 tahun kekuatan tentera MPAJA dianggarkan sebanyak 7,000 anggota dan tidak hairanlah apabila darurat berlaku pihak British dan anggota pasukan keselamatan terpaksa berhadapan dengan kesukaran menghapuskan MPAJA atau PKM.

Terbentuknya Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948 merupakan kekalahan kepada Parti Komunis Malaya kerana golongan ini telah diketepikan oleh British. Parti Komunis Malaya telah menukar strategi dan mula mencetuskan kegagasan melalui mogok dan rusuhan. Pihak British bertindak balas dengan mengharamkan pemimpin politik daripada mengetuai kesatuan pekerja, dengan itu melemahkan kedudukan PKM.

PKM kemudiannya mulai mengangkat senjata dan beberapa siri serangan dan serangan telah berlaku. Bagaimana pun, insiden pada 16 Jun 1948 iaitu pembunuhan tiga orang pengurus estet berbangsa Eropah di Sungai Siput, Perak telah membawa kepada pengistiharan darurat oleh Sir Edward Gent. Apabila keadaan bertambah teruk, pada 12 Julai 1948, darurat diistiharkan ke seluruh negara. Parti Komunis Malaya telah diharamkan pada 23 Julai 1948. Seluruh angkatan bersenjata telah digerakkan termasuk Senoi Praaq bagi menentang PKM.

Akibat kesukaran dan kekurangan sokongan dari masyarakat, pemimpin PKM, Chin Peng telah meminta perundingan diadakan pada tahun 1955. Rundingan Baling ini yang diadakan pada 28-29 Disember 1955 tidak membawa apa-apa keputusan drastik. Ini disebabkan kerajaan menawarkan pengampunan dengan syarat Parti Komunis Malaya dibubarkan, tetapi Chin Peng pula meminta Parti Komunis Malaya dibenarkan untuk bergerak sebagai sebuah parti politik. Pihak kerajaan yang telahpun mencapai kemajuan dalam membasmikan Parti Komunis Malaya, dan menimbangkan kekejaman Parti Komunis Malaya terhadap rakyat sebelumnya, menolak usul membenarkan Parti Komunis Malaya dibenarkan bergerak sebagai sebuah parti politik. Tunku kemudiannya menegaskan kepada rakyat bahawa PKM bertindak menentang kerajaan sah yang telah dipilih rakyat dan merdeka daripada penjajahan British.

Raja-Raja Melayu dan Persekutuan Tanah Melayu

Perjanjian Persekutuan menetapkan kuasa-kuasa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Hal ehwal kewangan mestilah dikendalikan oleh negeri masing-masing. DYMM Sultan diberikan kuasa penuh ke atas hal-hal agama dan adat istiadat Melayu. Masalah luar negeri dan pertahanan pula masih dipegang oleh Kerajaan British. Perjanjian Persekutuan telah dijadikan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dan diisytiharkan dengan rasminya pada 1 Februari 1948

Kesimpulan

Tanah Melayu telah melalui pelbagai situasi yang amat sukar dan mencabar dari penjajahan British, Jepun dan kemudian kembali kepada British. Perubahan ini telah menyebabkan suasana sosial amat mencabar. Apabila Jepun masuk ke Malaya, Jepun dan penyokongnya menganggap British adalah musuh dan penyokongnya juga musuh. Begitu juga apabila British kembali selepas Jepun kalah perang, mereka pula menganggap Jepun dan penyokongnya adalah musuh pula. Dalam masa yang sama PKM pula muncul yang berjuang dan menganggap sesiapa yang menyokong penjajah adalah musuh. Suasana ini menyebabkan rakyat amat tertekan dan suasana tegang.

Apabila PKM menyerang Polis di Bukit Kepong.... apakah sebenarnya yang berlaku? Adakah ianya serupa dengan serangan di estet Sungai Siput Perak? Adakah serangan itu disebabkan Polis adalah berkerja untuk British dan meletakkan Polis sebagai sasaran? Ataupun adakah ianya tindakan keganasan? Apa pun dalam situasi yang amat sukar itu dan Tanah Melayu masih dikuasai oleh British.... mungkin boleh dianggap mempertahankan Polis adalah serupa dengan mempertahankan British yang menjadi penguasa Tanah Melayu.

Namun, biarlah sejarah berlalu dan jadikan ianya sebagai pengajaran. Apabila Tanah Melayu Merdeka kitalah yang sepatutnya mempertahankan negara ini dari apa juga ancaman. Dan kita pula dipertanggungjawabkan untuk menjadi khalifah yang diwajibkan untuk mendirikan Islam dan memerintah negara dengan agama Islam. Islam memastikan negara perlu adil kepada umat Islam dan juga bukan Islam.

Selamat menyambut kemerdekaan ke 54.

No comments: