Saturday, August 13, 2011

Kenapa Takutkan DAP : Apa Beza DAP dengan UmNo

Oleh Amaluddin Zhafir

11 OGOS – Apa yang DAP janjikan bukanlah hal-hal yang berbentuk material semata-mata tetapi ikrar DAP khasnya dalam bentuk ‘roh’ untuk menjunjung Perlembagaan Persekutuan 1957.

Bermula dengan slogan Malaysia untuk Rakyat Malaysia kepada Utamakan Rakyat Malaysia, dan diperincikan lagi dengan Jalan Tengah Malaysia, DAP sentiasa konsisten menjunjung semangat Perlembagaan.

Sama sekali tidak pernah DAP mengkhianati roh ini. Ini kerana…

…DAP bukan UMNO.


Dalam keruncingan dan keangkuhan pemerintah, DAP menjanjikan peluang saksama kepada semua, dalam konteks ini tertumpu kepada Melayu, yang selama ini dinafikan secara tersirat dan dipergunakan oleh UMNO-Barisan Nasional untuk keuntungan kroni sendiri.

DAP mengamalkan keterbukaan peluang yang saksama berdasarkan merit. Umpama persaingan dalam berniaga; bila adanya kualiti yang sangat tinggi dan ‘berkhasiat,’ ramailah pembelinya.

Begitu juga dengan dasar keterbukaan peluang yang akhirnya akan memberi kuasa memilih yang tinggi kepada rakyat Malaysia. Itulah yang dimaksudkan dengan ‘kebebasan’ pasaran.

Mujurlah Tuhan membuka hati pengundi yang membenarkan DAP menerajui Pakatan Rakyat memerintah di Pulau Pinang, dan bermula detik itu, walau dalam masa sama difitnah pihak yang cemburu, negeri Pulau Mutiara kian berseri dengan urus tadbir yang cekap, akauntabel, dan telus (CAT).

Bukan cakap kosong dan takbur, tetapi oleh kerana ketelusan pentadbiran inilah Pulau Pinang, satu-satunya negeri di Malaysia yang menerima pengiktirafan oleh Transparency International.

Pelik juga, Ketuanan Melayu dan Dasar Ekonomi Baru walau dilaksana sekian lama oleh UMNO-BN, tidak pula menerima pujian sebegitu dari mana-mana pertubuhan bertaraf antarabangsa. Kalau ada pun, cuma dari NGO-NGO lokal yang dahagakan kontrak.

Bagaimana pun, tidak salah jika dahagakan kontrak, asalkan ada merit dan bermutu. NGO-NGO yang menyalak ini, di mana mutunya? Tunjukkan kualiti, Insyallah layak diberikan kontrak, tanpa mengira sebarang unsur…

…Perkauman.

Politik perkauman yang keji dan tidak bertamadun jajaan UMNO-BN dengan menggunakan jentera rasmi kerajaan telah dikatakan berjaya ‘melindungi’ Melayu dari ‘dikuasai’ kaum lain – walau pun sebenarnya ia cuma menjaga kepentingan minoriti Melayu yang sudah pun kaya raya.

Bagaimana pun, ‘kepungan’ agar semua Melayu setia di bawah tempurung UMNO menunjukkan betapa pemerintah Melayu memandang lekeh terhadap bangsa sendiri.

Dan di sini, boleh dipersoalkan, di manakah letaknya Malaysia sebagai sebuah negara bangsa bermaruah yang berdasarkan prinsip yang diperakui dalam Perlembagaan Persekutuan?

Tepuk dada kuat-kuat, dan tanya UMNO.


Majoriti rakyat Malaysia adalah Melayu. Walau pun begitu, fakta menunjukkan Melayu yang cuba dibangunkan melalui cara UMNO, tidak benar-benar bangun sampai sekarang.

Yang bangun ialah yang memegang kuasa, dan mereka yang berkuasa inilah yang hendak membangunkan Melayu dengan motif halus supaya Melayu sentiasa bertongkat dengan UMNO dari dulu, kini dan selamanya.

Kerana jika Melayu sedar ada parti atau pertubuhan atau wadah lain yang lebih baik, jujur dan ikhlas dari UMNO, maka tamatlah ‘perjuangan’ UMNO yang semakin tidak relevan lagi di negara ini.

Oleh kerana itu juga apa yang telah dilaksanakan, dari konsep Wawasan 2020, Islam Hadhari, kepada 1Malaysia, tidak membuahkan apa-apa faedah kepada Melayu. Kecuali mereka yang sudah pun kaya raya dan punya kabel politik yang besar lagi panjang.

Perkara ini berlaku kerana…Slogan gah bunyinya walhal pelaksanaannya kontang.

Pakatan Rakyat baru-baru ini telah mula merangka bajet alternatif sebagai respon kepada bajet yang bakal dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 7 Oktober depan.

Bajet alternatif yang dipersetujui bersama ini dinamakan ‘Kebajikan Untuk Semua,’ dan akan dikemaskini setiap minggu bersesuaian dengan naik turun ekonomi dunia sekarang.

Menurut Ahli Jawatankuasa Bajet Alternatif, Liew Chin Tong, dalam konteks Malaysia sekarang, salah satu dari tiga dasar bajet ini adalah bertujuan membantu majorit rakyat Malaysia iaitu mereka yang berpendapatan isi rumah kurang dari RM3,000 sebulan.

“Yang ramainya ialah orang Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak, walau pun begitu, ramai juga orang Cina dan India yang masih berpendapatan rendah,” katanya.

Tambah Liew yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera dan Setiausaha Antarabangsa DAP, bila Bajet Kebajikan Untuk Semua ini dilaksanakan, rakyat Malaysia akan punya lebih banyak lebihan kewangan

“Malah, mereka akan mempunyai kuasa untuk membeli dan memilih, dan secara langsung akan mengaktifkan ekonomi domestik Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, jelas beliau, dua lagi teras bajet alternatif ini adalah krisis ekonomi antarabangsa memberi impak kepada rakyat Malaysia, dan dasar-dasar BN yang lebih memihak kepada kroni, dan bukannya rakyat.

Perkembangan ilmu, sosial dan ekonomi.


Zaman kegemilangan Tamadun Melaka – dengan pelabuhan yang menjadi tempat persinggahan perdangan utama dunia – telah membuktikan bahawa bangsa Melayu merupakan bangsa yang cintakan keadilan dan sentiasa membuka peluang saksama antara semua kaum, dengan bukti penerimaan kebudayaan dan peradaban Arab, China, India, Portugis, Belanda dan Inggeris.

Jika tidak kerana keharmonian dan sifat terbuka bangsa Melayu, bagaimana pula Tamadun Melaka dicemburui penjajah?

Begitu juga ketika zaman kegemilangan pemerintahan Islam yang mengamalkan demokrasi dan kebebasan serta peluang yang saksama.

Sekadar contoh, ketika pemerintahan kerajaan Abbasiyah, para sarjana yang terdiri dari ahli falsafah, saintis, jurutera telah menyumbang kepada perkembangan ilmu yang sangat besar kepada dunia sekarang ini.

Bagaimana pun, pemerintah Malaysia hanya mampu bernostalgia dengan warisan Islam di zaman kegemilangannya dahulu, dan hanya pandai berceramah dengan menjual nama-nama besar seperti Ibn Sina, Al-Khwarizmi, Al-Kindi dan sebagainya.

Sedangkan Barat dan Asia Timur, yang sering dimomok sebagai ‘kafir’ pembawa budaya  kuning telah pun mengaplikasikan pelbagai teori tokoh-tokoh Islam ke tahap tertinggi sehingga, antaranya, boleh menghasilkan laser untuk membedah pesakit dan penciptaan teori-teori lanjutan yang memajukan sains dan teknologi.

Bandingkan pula di negara yang kerajaannya mengamalkan konsep 1Malaysia yang diselitkan dengan semangat Ketuanan Melayu. Dan di zaman Melaka dan kegemilangan Islam, wujudkah slogan-slogan seperti Ketuanan Melayu atau Ketuanan Arab-Islam yang telah mengangkat martabat kegemilangannya?

Pernahkah wujud cerminan budaya Melayu a la UMNO yang menggegarkan dunia?

Memang kita boleh membuat rekod dunia dengan menghasilkan bendera terbesar di dunia, atau mungkin mengangkat keris 24 jam sehari selama 100 tahun, tetapi apakah ini semua dapat meningkatkan taraf hidup Melayu dan rakyat Malaysia?

Dalam membentuk sebuah negara bangsa yang bermutu tinggi, memerlukan keterlibatan semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.

Bagaimana pun, keterlibatan tanpa mutu, yakni tanpa maruah, keadilan, kebebasan, demokrasi dan kedaulatan undang-undang, umpama motosikal tanpa minyak atau air liur tanpa suara.

Media kawalan UMNO-BN menjumudkan minda Melayu

Akibat mainan media kawalan UMNO-BN yang datang dalam bentuk kombo bersama pelbagai akta yang mengekang, ianya telah mengakibatkan corak pemikiran kebanyakan Melayu tertutup.

Tuduhan Utusan Malaysia bahawa DAP ingin memansuhkan kedudukan istimewa Melayu sebenarnya membawa maksud memperlekehkan Melayu sendiri, termasuk penulis rencana tersebut yang juga Melayu.

Seruan Utusan hanyalah bermaksud Melayu akan binasa jika tinggalkan UMNO. Tetapi hakikatnya bukankah UMNO yang akan binasa jika ditinggalkan Melayu?

Ketika pertemuan Roketkini bersama bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu, Said Zahari, beliau berkata dengan nada yang bersemangat:

“Kalau ramai orang Melayu dalam DAP, boleh jadi calon DAP, itu bermakna satu perkembangan dalam kesedaran politik orang Melayu.”

Sedangkan beliau yang sudah tua itu bersemangat dan berkobar akan kepentingan Melayu dalam DAP, apa lagi orang muda? Atau mungkinkah orang muda, walau bagaimana radikal sekali pun diri diangkat, masihkah terikat hati dengan bisikan Ketuanan Melayu?

DAP tidak pernah sama sekali mempersoalkan kedudukan Melayu, yang DAP persoalkan ialah kedudukan segelintir Melayu minoriti yang tamak haloba. Malah DAP lebih keras kritikannya terhadap segelintir Cina dan India yang meraih keuntungan melalui amalan niaga Ali Baba yang diamalkan pimpinan UMNO-BN.

Secara tegas DAP sentiasa mempertahankan apa-apa hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan 1957, termasuk agama Islam sebagai agama rasmi dan Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Kebangsaan.

Jadi, bagaimana pula sekarang?


Peranan Melayu di dalam DAP – sama ada menyokong, mengundi, membantu – sangat-sangat dialu-alukan kerana apa yang DAP mahukan ialah menubuhkan Malaysia yang berdaya saing, dari sudut ekonomi, seni, mahu pun sosial.

Perubahan ini memerlukan sifat keterbukaan dan ketinggian roh Perlembagaan yang tinggi.

Bagi mereka yang belum keluar dari kepompong ketuanan kaum, janganlah terlalu cemburu jika DAP mendapat sokongan Melayu.

Alangkah indahnya Malaysia nanti, jika orang Melayu sekalian – terutamanya yang ahli dalam ilmu kebebasan memilih – membantu DAP bersama Pakatan Rakyat membentuk sebuah Malaysia baru.

Bukan DAP yang akan menjadi Perdana Menteri, bukan DAP yang akan menjadi pemerintah unggul. Yang mahu diwujudkan kerajaan baru yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat – PAS, PKR dan DAP – untuk menggantikan sistem pemerintahan yang sudah terlalu korup dan kotor untuk direformasikan dari dalam.

No comments: