Monday, January 9, 2012

PAS pecat Hasan Ali

Dalam jemaah kita ada adab dan peraturan. Sebagai kepimpinan kita punyai tanggungjawab yang lebih besar. Segala keputusan perlulah bersandarkan adab peraturan yang telah ditetapkan. Melainkan peraturan tersebut bercanggah dengan Al-Quraan, hadith, ijma' dan qias.

Walaupun kita mempunyai niat yang baik namun matlamat tidak menghalalkan cara. Dalam hidup berjemaah kita tidak boleh membelakangkan parti dalam membuat sebarang keputusan dan kenyataan.

PAS semalam telah membuat keputusan yang amat berat dengan memecat Datuk Hasan Mohd Ali sebagai anggota parti itu berkuatkuasa serta merta. Keputusan terhadap exco kerajaan Selangor itu dicapai dalam mesyuarat jawatankuasa pusat parti itu lebih tiga jam di Kuala Lumpur hari ini.

Walau bagaimanapun kedudukan beliau sebagai exco dan penggantinya akan diputuskan kemudian.

Dalam kenyataan semalam, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pemecatan itu dibuat berdasarkan Fasal 82(9) perlembagaan PAS. "Keputusan ini dibuat berdasarkan kepada tindakan-tindakan YB Datuk Hasan Ali yang menyalahi dan merugikan kepentingan parti sebagaimana yang diperuntukkan dalam perlembagaan PAS," kata Abdul Hadi.

Pemimpin kontroversi itu menimbulkan keresahan pelbagai pihak khususnya di kalangan anggota dan penyokong Pakatan Rakyat kerana mengambil pendirian bercanggah dengan partinya dan Pakatan Rakyat. Antaranya mempersoalkan konsep dasar negara kebajikan yang telah dipersetujui dalam Muktamar PAS.

Datuk Hasan sebelum ini mengecam golongan bukan ulama dalam PAS dan menuduh parti itu telah menyeleweng daripada perjuangan Islam. Terbaru, Hasan mempersoalkan kewajaran ahli dan penyokong PAS yang diminta hadir pada  perhimpunan ‘Bebaskan Anwar’ pada 9 Januari yang telah dipersetujui Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Rani dan yang akan dihadiri oleh Presiden PAS TG Hj Hadi.

Mudah-mudahan sekiranya beliau ikhlas dalam memperjuangkan Islam Allah akan menunjukkan jalan dan istikomah dalam perjuangan ini. Kedudukan dan jawatan hanyalah pinjaman sementara dan yang lebih penting adalah apakah sumbangan kita dalam memartabatkan Islam di atas muka bumi ini. Contohilah sikap dan sifat panglima besar Khalid ibn Walid.

No comments: