Friday, April 6, 2012

Banjir: SELCAT Adakan Pendengaran Awam Kenalpasti Punca

SHAH ALAM, 5 APR – Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Kecekapan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) akan mengadakan pendengaran awam berhubung kejadian banjir yang melanda kawasan Hulu Langat dan Klang, masing-masing pada 17 dan 30 Mac lalu.

Pendengaran awam yang akan berlangsung pada 16 dan 17 April itu bakal diadakan di Bilik Gerakan Dewan Negeri Selangor pada jam 10 pagi.

Menerusi kenyataan media yang dihantar kepada Media Selangorku hari ini, beberapa saksi akan dipanggil untuk memberi keterangan termasuk wakil dari Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), Pejabat Daerah, Majlis Perbandaran, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Kerja Raya, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negeri.

Selain itu, kehadiran badan bukan kerajaan dan orang perseorangan untuk memberi keterangan juga dialu-alukan, bagaimanapun mereka perlu memberi keterangan bertulis terlebih dahulu selewat-lewatnya 12 April ini untuk ditentukan keberkaitan keterangan sebelum dipanggil.

Hujan lebat yang berlarutan tanpa henti selama 12 jam pada 8 Mac lalu mengakibatkan sebahagian besar kawasan Lembah Klang dinaiki air dan mangsa di kawasan Hulu Langat terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.

Hulu Langat adalah antara kawasan dinaiki air. Kawasan-kawasan lain termasuklah Lembah Jaya di Ampang; Kampung Attap dan Kampung Baru di ibu negara. 

Jalan-jalan yang turut dinaiki air ialah Jalan Lingkaran Tengah (MRR2) berhampiran Tesco Ampang dan Hotel Flamingo, Jalan Tuanku Abdul Rahman (kawasan Chowkit), Jalan Tun Razak, Jalan Duta, Pasar Seni.

Banjir di kawasan Hulu Langat menghala ke Bukit Belacan, Ampang dipercayai berpunca daripada limpahan air sungai.

Di Klang, banjir kilat telah melanda di beberapa kawasan di daerah itu dan mengakibatkan lebih 1000 penduduk mengalami kerugian akibat kerosakan harta benda.

Kejadian yang disifatkan sebagai banjir kilat terburuk dalam sejarah di kawasan itu dipercayai berpunca daripada kegagalan kunci air pada sistem saliran untuk berfungsi. Antara kawasan yang teruk dilanda banjir adalah Kampung Delek Kiri, Kampung Delek Kanan, Kampung Delek Baru, Jalan Masjid, Sungai Sireh dan Kampung Keretapi.

No comments: